Kuatkuasakan tindakan tegas terhadap penyeludup rokok

[Gambar hiasan] Sindiket seludup rokok mengaut keuntungan berbilion-bilion hasil daripada kegiatan penyeludupan rokok. Gambarkecil: Paneir Selvam Rengasamy
[Gambar hiasan] Sindiket seludup rokok mengaut keuntungan berbilion-bilion hasil daripada kegiatan penyeludupan rokok. Gambarkecil: Paneir Selvam Rengasamy
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kerajaan perlu menguatkuasakan undang-undang lebih tegas terhadap ketua sindiket seludup rokok yang mengaut keuntungan berbilion-bilion hasil daripada kegiatan penyeludupan rokok.

Pensyarah Kanan di Institut Jenayah dan Kriminologi di HELP University, R Paneir Selvam berkata, Malaysia kini berada hampir dalam situasi cukup getir berhubung isu penyeludupan barangan dan kumpulan jenayah terancang dan masalah ini hendaklah ditangani sebagai isu keselamatan negara.

Kolumnis perundangan terkemuka itu mengulas, isu tersebut berikutan gesaan beberapa pihak supaya kerajaan dan agensi penguatkuasaan mengambil tindakan tegas terhadap penyeludup rokok dan ketua-ketua kumpulan jenayah terancang yang terbabit dalam perdagangan haram itu.

Katanya, merujuk satu kes pada Jun lalu, polis menyerbu sebuah gudang dan stor di Tasek Gelugor, Pulau Pinang serta memberkas lima lelaki dan merampas 18.5 juta rokok seludup bernilai RM13.87 juta.

“Berdasarkan siasatan, rokok-rokok itu diseludup dari negara jiran menggunakan jalan laut dan pemindahan di tengah-tengah laut. Rokok seludup ini kemudiannya disimpan di gudang dengan mengisytiharkan sebagai syarikat barangan runcit yang sah.

"Modus operandi mereka jelas menunjukkan tahap tertinggi komplot pelbagai negara dan organisasi yang banyak lapisan dengan sokongan kedua-dua pihak berkuasa tempatan dan luar negara," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Oleh itu, beliau berkata, penggunaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) dan Akta Pengubahan Wang Haram 2001 (AMLA) adalah sangat relevan untuk menangani kes-kes sebegini.

"SOSMA diwujudkan sebagai langkah-langkah khas bagi kesalahan dalam soal keselamatan bagi mengekalkan ketenteraman dan keselamatan awam. Selepas 24 jam berikutan penangkapan, SOSMA membolehkan seseorang itu ditahan sehingga 28 hari.

Artikel Berkaitan:

"Penahanan sebelum pendakwaan di mahkamah, secara khusus digunakan bagi mengumpul seberapa banyak maklumat dan bukti yang boleh digunakan dalam perbicaraan dan sangat bersesuaian untuk menangani suspek yang mengancam keselamatan negara.

"Ia secara umumnya memberi masa secukupnya kepada penyiasat untuk melengkapkan siasatan mereka tanpa gangguan, yang malangnya pernah berlaku sebelum ini, mengakibatkan penjenayah itu melepaskan diri daripada diadili,” jelas beliau.

POCA pula katanya, memberi kuasa membanteras jenayah secara lebih berkesan di seluruh negara, selain kaedah mengawal anggota kongsi gelap atau pengganas.

"POCA memberi kuasa kepada polis untuk menangkap dan menahan seseorang itu sehingga 60 hari tanpa didakwa atau perbicaraan. Tempoh 60 hari ini merangkumi penahanan 24 jam pertama, penambahan 21 hari dengan pernyataan bertulis ditandatangani oleh pegawai polis bukan berpangkat bawah dari Inspektor, dan penambahan 38 hari dengan pernyataan bertulis ditandatangani oleh pegawai polis bukan berpangkat bawah dari Asisten Superintendan.

"Selepas tempoh penahanan 60 hari, kes tahanan itu akan diperdengarkan oleh Lembaga Pembanterasan Jenayah yang berkuasa untuk menjatuhkan hukuman maksimum penjara selama dua tahun.

"Bagaimanapun, ia boleh dilanjutkan sekiranya lembaga mengesahkan penahanan lanjut perlu dilakukan bagi melindungi keselamatan dan ketenteraman awam atau bagi membanteras jenayah,” kata Selvam.

Beliau menambah, POCA adalah undang-undang yang ideal digunakan ke atas ketua penyeludupan yang pihak berkuasa sudah kenal pasti tetapi tiada apa-apa tindakan dibuat atas sebab-sebab tertentu.

"Ketua-ketua jenayah terancang ini adalah ancaman kepada keselamatan negara dan mengaut keuntungan daripada perdagangan haram yang lazimnya disalurkan pula untuk membiayai kegiatan penganas. Faktor-faktor ini menepati objektif dan keperluan POCA," ujar beliau.

Kataya, AMLA pula mendefinisikan jenayah pengubahan wang haram dan pembiayaan terorisme bersama dengan langkah-langkah yang perlu dilakukan bagi mengelakkan pengubahan wang haram dan pembiayaan terorisme.

“AMLA memberikan agensi penguat kuasa undang-undang dan pendakwa raya kuasa menyiasat yang luas, termasuk keupayaan untuk membeku dan merampas harta-harta yang terlibat atau disyaki di dalam pengubahan wang haram atau kesalahan pembiayaan teroris, selain membolehkan mahkamah merampas harta yang diperoleh hasil daripada jenayah berat.

"Mengikut Sekysen 4 akta ini, bila didapati bersalah, seseorang yang melakukan kesalahan pengubahan wang haram berdepan dengan hukuman penjara maksimum 15 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil kegiatan haram atau berperanan penting di dalam kesalahan semasa pelanggaran dilakukan, atau lima juta ringgit, yang mana satu lebih tinggi,” katanya.

Selvam berkata, kumpulan jenayah terancang biasanya akan menggunakan pelbagai kaedah untuk mengubah wang haram yang diperoleh daripada kegiatan jenayah, dan AMLA akan membolehkan agensi berkaitan untuk membeku dan menyita harta-harta dengan matlamat merampasnya dibawah perintah mahkamah.

“Serang sindiket jenayah ini di tempat yang paling menyakitkan iaitu kewangan mereka. Tanpa dana, mereka tidak akan dapat merasuah sesiapa untuk meloloskan diri daripada kepungan pihak penguat kuasa undang-undang,” kata Selvam.

Kata beliau, meskipun hakikatnya kita memiliki sebilangan agensi undang-undang dan penguatkuasaan memerangi penyeludupan rokok ke dalam negara ini, permasalahan ini nampaknya tidak dikawal dengan baik.

"Krisis ekonomi dan pergolakan politik semasa akan memberikan penjenayah ini lebih banyak peluang untuk meluaskan cengkaman mereka di dalam perdagangan haram.

"Oleh itu, agensi kerajaan hendaklah berfikir di luar kotak untuk membangunkan strategi dan kaedah yang sewajarnya dengan menguatkuasakan undang-undang sedia ada untuk menghukum kumpulan penjenayah terancang ini dan mereka yang membantu mereka, supaya menjadi peringatan kepada semua supaya tidak terbabit dalam jenayah seumpamanya di Malaysia,” kata Selvam.