LZS bantu Kechik Kuantan teruskan kelangsungan hidup

Mohd Nazri (dua dari kanan) menerima sumbangan daripada LZS selepas dilaporkan terjejas pendapatan ekoran PKP.- Foto ihsan FB LZS.
Mohd Nazri (dua dari kanan) menerima sumbangan daripada LZS selepas dilaporkan terjejas pendapatan ekoran PKP.- Foto ihsan FB LZS.
A
A
A

SHAH ALAM - Lembaga Zakat Selangor (LZS) mengambil inisiatif bagi membantu seorang bekas atlet snuker negara, Mohd Nazri Mustaffa yang terjejas pendapatan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

Menerusi kemas kini di laman Facebook pada Khamis, LZS berkata, Nazri atau lebih dikenali sebagai Kechik Kuantan dalam kalangan peminat sukan snuker tempatan perlu bergelut bagi meneruskan kelangsungan hidup sehingga akademi miliknya juga terpaksa ditutup.

Menurut kenyataan tersebut, aset lain milik Mohd Nazri seperti rumah dan kereta juga perlu digadai bagi menyara dua anaknya.

"Pelbagai usaha telah beliau lakukan bagi meneruskan kelangsungan hidup ketika pandemik ini namun semuanya gagal," kata kenyataan tersebut.

Sebelum ini, kisah Mohd Nazri mendapat perhatian apabila beliau terpaksa meminta bantuan orang ramai selepas pendapatannya terjejas ekoran PKP.

Dalam pada itu, LZS berkata, pihaknya telah bersama-sama turun padang bagi meninjau lebih dekat keadaan Mohd Nazri dan menyampaikan sedikit sumbangan kepadanya.

"Alhamdulillah, sumbangan tunai dan barangan makanan diserahkan sebagai bantuan awal buat beliau sekeluarga dan bantuan asasi lain seperti kewangan bulanan serta makanan bakal menyusul," jelas kenyataan itu.

Artikel Berkaitan: