Malaysia catat peningkatan lebihan akaun semasa RM14.4 bilion

Mohd Uzir
Mohd Uzir
A
A
A

IMBANGAN Akaun Semasa Malaysia (CAB) mencatat lebihan RM14.4 bilion pada suku tahun kedua 2021 iaitu meningkat sebanyak 17.2 peratus daripada RM12.3 bilion pada suku sebelumnya.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, lebihan tersebut didorong prestasi yang baik dalam barangan walaupun defisit perkhidmatan terus meningkat sejak suku tahun kedua 2020 disebabkan penularan wabak Covid-19.

Menurutnya, pada suku tahun ini, akaun barangan meningkat 11.1 peratus untuk mencatat lebihan lebih tinggi sebanyak RM40.7 bilion berbanding RM36.6 bilion pada suku sebelumnya, dipacu eksport yang lebih tinggi pada RM244 bilion meningkat sebanyak RM18.5 bilion dari suku sebelumnya.

“Eksport utama ialah barangan berasaskan elektrik dan elektronik (E&E), petroleum dan getah terutamanya ke China, Singapura dan Amerika Syarikat (AS).

“Import barangan juga meningkat sebanyak RM14.5 bilion kepada RM203.4 bilion berbanding suku sebelumnya. Sumber import utama ialah dari China, Singapura dan Jepun dengan peningkatan import disumbangkan barangan perantaraan,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata, lebihan akaun semasa pada suku tahun kedua juga disokong defisit pendapatan sekunder yang lebih rendah berjumlah RM1.4 bilion berbanding RM3.6 bilion pada suku tahun pertama 2021.

“Ini berikutan penerimaan yang lebih tinggi dari luar negara, manakala pembayaran ke luar negara berkurangan disebabkan pengiriman wang keluar lebih rendah susulan penurunan bilangan pekerja asing di Malaysia,” ujarnya.

Beliau menambah, berdasarkan prestasi perdagangan perkhidmatan, import mencatatkan RM36.5 bilion yang secara relatifnya lebih tinggi daripada nilai eksport RM21.1 bilion pada suku tahun kedua 2021.

Artikel Berkaitan:

Katanya, ia mengakibatkan defisit lebih tinggi dalam perkhidmatan yang berjumlah RM15.4 bilion berbanding RM15 bilion pada suku sebelum terutamanya disebabkan perjalanan dan pengangkutan.

“Sempadan Malaysia masih ditutup untuk pelancong antarabangsa berikutan situasi Covid-19 yang teruk sejak pertengahan Mei tahun ini menyebabkan perjalanan terus mencatat defisit lebih tinggi sebanyak RM3.6 bilion pada suku tahun semasa.

“Defisit pengangkutan turut meningkat sebanyak 6.4 peratus secara suku tahunan pada RM8.1 bilion terutamanya disebabkan pembayaran yang lebih tinggi untuk aktiviti muatan sejajar dengan peningkatan dalam import barangan,” ujar Mohd Uzir.

Beliau menambah, dari konteks kewangan, akaun kewangan berubah arah pada aliran keluar bersih berjumlah RM7 bilion pada suku tahun ini berbanding aliran masuk bersih RM16 bilion pada suku sebelumnya.

Sementara itu, Pelaburan Langsung Asing (FDI) mencatatkan aliran masuk sebanyak RM8.2 bilion pada suku tahun ini terutamanya dalam bentuk ekuiti dan dana pelaburan saham.

“Pembuatan kekal sebagai sektor utama pelaburan asing di Malaysia, diikuti kewangan dan perlombongan; khususnya dari Jepun, Indonesia dan AS.

“Pelaburan Langsung di Luar Negeri (DIA) pula merekodkan aliran keluar sebanyak RM4 bilion pada suku kedua 2021 disumbangkan ekuiti dan dana pelaburan saham,” katanya.

Menurut Mohd Uzir, syarikat Malaysia di luar negara kebanyakannya terlibat dalam sektor kewangan, pembuatan dan maklumat manakala destinasi utama ialah United Kingdom, Indonesia dan Canada.

Mengulas mengenai pelaburan terkumpul, beliau berkata, pada akhir suku tahun kedua 2021, kedudukan FDI meningkat RM16.9 bilion kepada RM730.3 bilion manakala kedudukan DIA ialah RM537.7 bilion,” katanya.