X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 28 November 2021

[DIKEMASKINI] Empat anggota TUDM maut dalam insiden tembakan

Sekurang-kurangnya tiga anggota Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) dipercayai maut dan seorang lagi cedera parah dalam kejadian tembakan di Kem SKN 330 TUDM CRC, Kota Samarahan pagi tadi.
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengesahkan berlaku satu insiden kejadian tembakan membabitkan empat warga TUDM di unit TUDM Kota Samarahan, Sarawak pada Jumaat.

Menurut satu kenyataan, kejadian berlaku kira-kira jam 7.15 pagi ketika anggota terbabit sedang bertugas.

Katanya, pihak TUDM menyerahkan kes itu kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menjalankan siasatan.

"Pihak TUDM menggesa semua pihak agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi sehingga proses siasatan oleh PDRM selesai.

"TUDM akan menubuhkan satu Lembaga Penyiasatan bagi mengenal pasti punca kejadian," kata kenyataan tersebut pada Jumaat.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail dalam satu kenyataan pada Jumaat memaklumkan bahawa empat anggota TUDM maut dalam kejadian tersebut.

Beliau berkata, kejadian itu difahamkan berlaku ketika masa serah tugas di Balai Pengawal Handau Skuadron 330 TUDM.

"Salah seorang anggota TUDM dipercayai menembak tiga rakannya sebelum menembak diri sendiri," katanya.

Beliau berkata, dua rakan yang ditembak maut serta-merta di tempat kejadian, manakala seorang lagi cedera parah.

"Mangsa yang cedera parah sempat memandu kenderaan sendiri bagi mendapat rawatan di klinik tentera dalam kem berkenaan.

"Mangsa yang cedera di bahagian perut dan kritikal meninggal dunia ketika menerima rawatan di Pusat Jantung Kota Samarahan," ujar beliau.

Menurutnya, pihak forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak dan forensik Hospital Umum Sarawak hadir di tempat kejadian.

"Siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti kejadian," jelasnya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!