Sila log masuk terlebih dahulu.

Op Bantu: PDRM redah pedalaman, daki bukit pikul bakul makanan

Mazli (kiri) bersama Sahimi (kanan) masing-masing memikul kotak berisi barang makanan dan beras untuk penduduk di Kampung Lahanas Siba dalam Program Op Bantu di Kota Belud.
Mazli (kiri) bersama Sahimi (kanan) masing-masing memikul kotak berisi barang makanan dan beras untuk penduduk di Kampung Lahanas Siba dalam Program Op Bantu di Kota Belud.
A
A
A

KOTA BELUD - Perjalanan berbukit selain jalan raya tidak berturap yang terpaksa ditempuh selama hampir satu jam menggunakan pacuan empat roda untuk tiba di tiga perkampungan di pedalaman bukan penghalang bagi Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyampaikan sumbangan bakul makanan sempena Op Bantu di daerah ini.

Kumpulan yang disertai oleh pegawai dan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud dan Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah sambil memikul bakul makanan mendaki kawasan bukit disambut gembira oleh penduduk kawasan berkenaan.

Penduduk Kampung Lahanas Atas, Sompidoh Eili, 57, berkata, kesukaran untuk mereka keluar mendapatkan bekalan makanan di pekan Kota Belud 'terubat' apabila kumpulan polis Sabah itu tiba dengan pelbagai bantuan bakul makanan yang disampaikan kepada mereka.

"Kampung kami ini terletak jauh di pedalaman dan sukar untuk keluar memandangkan ketika ini kita masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan penduduk kadang-kadang terputus bekalan makanan seperti beras dan sebagainya.

"Jadi bantuan yang disampaikan kepada kami, sekurang-kurangnya dapat membantu penduduk supaya tidak perlu keluar buat sementara waktu ketika ini," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Sompidoh yang bekerja mengambil upah memotong rumput berkata, akibat pandemik Covid-19 juga menyebabkan penduduk di kampung terjejas pendapatan kerana tidak dapat melakukan pekerjaan dengan lebih kerap.

"Kalau dulu, pendapatan boleh mencecah sehingga RM300 hasil daripada upah memotong rumput, namun sejak pandemik pendapatan merosot dan paling banyak upah diperolehnya hanya RM50 sahaja," katanya.

Artikel Berkaitan:

Seorang lagi penduduk Kampung Lahanas Siba, Rukana Saiwa, 30, mengakui amat terjejas dari segi pendapatan sejak pandemik melanda dan pelaksanaan PKP di seluruh negara.

"Mahu keluar untuk jual hasil tani seperti halia dan getah pun susah sekarang kerana perlu mematuhi SOP iaitu hanya dua orang dalam satu kenderaan dibenarkan.

Sompidoh menerima bakul makanan daripada Mazli (dua dari kanan) dan Sahimi (dua dari kiri) dalam Op Bantu di Kampung Lahanas Atas, Kota Belud.
Sompidoh menerima bakul makanan daripada Mazli (dua dari kanan) dan Sahimi (dua dari kiri) dalam Op Bantu di Kampung Lahanas Atas, Kota Belud.

"Kampung kami pula terletak jauh di pedalaman jadi kalau keluar perlu menumpang mereka yang ada kenderaan, kalau bawa hasil tani pun sekali sekala saja dapat jadi pendapatan pun terjejas juga," katanya yang juga bekerja sebagai penoreh getah.

Bagaimanapun, menurut Rukana, menerusi bantuan yang disampaikan PDRM sedikit sebanyak dapat membantu untuk menampung keperluan terutama barang makanan untuk mereka sekeluarga.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Mazli Mazlan berkata, Ops Patuh yang dilaksanakan bersama IPD Kota Belud memasuki fasa ketiga dan sebanyak 47 bakul makanan telah diserahkan kepada penduduk yang disasarkan.

"Op Bantu kali ini kita sasarkan di kawasan pedalaman untuk membantu masyarakat yang tinggal di kawasan yang agak jauh dan sukar untuk dikunjungi dengan menggunakan kenderaan biasa, di mana kita terpaksa melalui jalan berbukit bukau dan jalan yang agak kurang baik serta sukar dilalui.

"PDRM Kontinjen Sabah amat berterima kasih kepada kerajaan kerana melancarkan Op Bantu ini di mana pengalaman kami ketika menyerahkan bakul makanan kepada sasaran, kita mendapati bahawa rakyat amat memerlukan bakul makanan ini.

"Penduduk amat berterima kasih kerana dapat meringankan beban di kala berhadapan dengan pandemik Covid-19," katanya kepada pemberita selepas Program Op Bantu Fasa 3 peringkat IPD Kota Belud.

Hadir sama dalam Op Bantu itu, Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Sahimi Husin.