Warga emas lemas bot terbalik dipukul ombak di Miri

Seorang nelayan warga emas ditemukan lemas manakala anaknya berjaya diselamatkan selepas bot yang dinaiki mereka terbalik akibat dipukul ombak besar. Gambar hiasan
Seorang nelayan warga emas ditemukan lemas manakala anaknya berjaya diselamatkan selepas bot yang dinaiki mereka terbalik akibat dipukul ombak besar. Gambar hiasan
A
A
A

MIRI - Seorang nelayan warga emas ditemukan lemas manakala anaknya berjaya diselamatkan selepas bot yang dinaiki mereka terbalik akibat dipukul ombak besar ketika menangkap ikan kira-kira 11 batu nautika ke barat daya Kuala Miri di sini pada Selasa.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Zon Miri Md Fauzi Othman berkata, mayat Sadan Seman, 87, ditemukan terapung tidak jauh dari lokasi kejadian sementara anaknya Semido, 56, diselamatkan oleh nelayan lain yang tiba di situ kira-kira 12.45 tengah hari tadi (Selasa).

“Semido berkata kejadian berlaku secara tiba-tiba apabila bot yang dinaiki mereka telah dipukul angin kencang dengan ombak setinggi tiga meter menyebabkan bot itu dimasuki air dan terbalik,” katanya dalam kenyataan petang Selasa.

Menurutnya, kedua-dua mangsa tiba di Jeti Marina Bay di bandar raya ini kira-kira 1.30 tengah hari dan susulan kejadian itu, Md Fauzi meminta nelayan di sini untuk menangguhkan sebarang aktiviti mereka sekiranya keadaan cuaca tidak mengizinkan.

“Komuniti maritim dinasihatkan supaya mengutamakan keselamatan terutamanya ketika keadaan laut bergelora dan cuaca tidak menentu.

“Amalkan langkah keselamatan dengan memakai jaket keselamatan dan bawa bersama peranti Personal Locator Beacon (PLB) untuk memudahkan Maritim Malaysia mengenal pasti lokasi sekiranya berlaku kecemasan,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: