Ancaman virus Marburg pula

Pihak berkuasa kesihatan sedang melakukan tindak balas kecemasan termasuk penilaian risiko dan pemeriksaan terhadap komuniti. - Foto: Agensi
Pihak berkuasa kesihatan sedang melakukan tindak balas kecemasan termasuk penilaian risiko dan pemeriksaan terhadap komuniti. - Foto: Agensi
A
A
A

GENEVA - Guinea mengesahkan kes penyakit Marburg yang pertama kali direkodkan di Afrika Barat melibatkan virus berbahaya yang ada kaitan dengan Ebola dan seperti Covid-19 yang disebarkan oleh haiwan kepada manusia.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Isnin mengesahkan virus bawaan kelawar yang mempunyai kadar kematian sehingga 88 peratus itu dikesan daripada pesakit meninggal dunia di selatan wilayah Gueckedou pada 2 Ogos selepas dia menunjukkan gejala seperti demam panas dan sakit kepala yang teruk pada 25 Julai lalu.

Individu tersebut yang dirawat di klinik tempatan pada mulanya menjalani ujian malaria, namun sampel post mortem menunjukkan dia negatif Ebola dan positif Marburg.

Kes tersebut dikenal pasti di perkampungan berhampiran sempadan Sierra Leone dan Liberia.

Difahamkan, tiga ahli keluarga pesakit itu yang dikenal pasti sebagai kontak rapat berisiko tinggi kini dipantau pihak berkuasa sementara siasatan penuh dijalankan untuk mengenal pasti sumber jangkitan dan kemungkinan ada kontak lain.

"Virus Marburg berpotensi merebak secara meluas. Kita perlu menghentikan ancaman ini," kata Pengarah Serantau WHO untuk Afrika, Dr Matshidiso Moeti.

Penemuan virus itu dibuat kira-kira dua bulan selepas WHO mengisytiharkan wabak kedua Ebola di Guinea yang meragut 12 nyawa sejak tahun lalu sudah berakhir.

Di Geneva, agensi di bawah PBB itu menganggap penyakit Marburg sebagai 'ancaman tinggi' pada peringkat kebangsaan dan serantau, namun ancamannya dianggap 'rendah' pada peringkat global.

Artikel Berkaitan:

Susulan penemuan virus itu, pakar WHO termasuk ahli epidemiologi dan sosio-antropologi sudah berada di lapangan untuk menyokong pihak berkuasa kesihatan kebangsaan. - Agensi

INFO:

>Virus Marburg biasanya dikaitkan dengan pendedahan terhadap gua atau lombong yang menjadi koloni spesies kelawar Rousettus. Ia merebak kepada manusia melalui cairan tubuh individu dijangkiti atau permukaan dan objek tercemar.

>Wabak itu dan kes sekali-sekala pernah dilaporkan di Afrika Selatan, Angola, Kenya, Uganda dan Republik Demokratik Congo.

>Kadar kematian adalah 24 hingga 88 peratus. Tiada vaksin atau rawatan antivirus. Antara pilihan rawatan digunakan ialah terapi rehidrasi oral.