Lelaki ugut MB Kedah melalui aplikasi 'messenger' ditahan

Laporan Sinar Harian pada Isnin mengenai tindakan seorang lelaki yang didakwa menghina Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.
Laporan Sinar Harian pada Isnin mengenai tindakan seorang lelaki yang didakwa menghina Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seorang lelaki yang dikesan melakukan ugutan terhadap Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor ditahan awal pagi Selasa di Taiping, Perak.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, lelaki berusia 25 tahun itu dikesan menghantar pesanan melalui aplikasi 'messenger' di laman Facebook milik Muhammad Sanusi dengan kata-kata berbaur ugutan.

Menurutnya, suspek yang bekerja sebagai penganalisis IT itu ditahan di rumahnya kira-kira jam 12.15 tengah malam tadi oleh sepasukan pegawai dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) D9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah dan JSJ Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping.

"Tangkapan dibuat setelah menerima laporan polis dari 'editor page' menteri besar itu yang memaklumkan menerima mesej melalui messenger dari seorang pemilik akaun yang menghantar ugutan dan kata-kata kesat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Adzli berkata, hasil soal siasat, suspek mengaku telah melakukan perbuatan itu terhadap menteri besar Kedah dan telah memadam mesej yang dihantar itu pada hari sama.

"Suspek telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda untuk tindakan lanjut. Turut dirampas sebuah telefon bimbit beserta kad sim.

"Semakan mendapati suspek tiada rekod jenayah lampau dan suspek telah direman selama tiga hari bermula Selasa untuk siasatan lanjut," jelasnya.

Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan, Seksyen 14(1) Akta Kesalahan Kecil 1955 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, seorang lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung video yang tular di media sosial Facebook yang didakwa sengaja mengaibkan Muhammad Sanusi serta boleh membawa kepada perpecahan keamanan.

Lelaki berusia 61 tahun itu ditahan di sebuah rumah di Lenggeng, Negeri Sembilan pada jam 3.57 pagi Isnin susulan laporan polis yang dibuat oleh pegawai khas menteri besar berkenaan.

Bagaimanapun, lelaki tersebut telah dibebaskan setelah siasatan dilakukan terhadapnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Warga emas hina MB Kedah ditahan