Dewan Rakyat: Had kehadiran individu termasuk ahli Parlimen diteliti

Jumlah kapasiti individu termasuk bilangan ahli Parlimen untuk menghadiri Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen ke-14 yang dijadualkan bermula 6 September akan diteliti. - Foto Bernama
Jumlah kapasiti individu termasuk bilangan ahli Parlimen untuk menghadiri Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen ke-14 yang dijadualkan bermula 6 September akan diteliti. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jumlah kapasiti individu termasuk bilangan ahli Parlimen untuk menghadiri Mesyuarat Penggal Keempat Parlimen ke-14 yang dijadualkan bermula 6 September akan diteliti, kata Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon.

Beliau berkata, ia bagi memastikan kelancaran persidangan Parlimen dan mengelakkan kejadian penularan Covid-19 berlaku, seperti yang terjadi pada Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen ke-14 bagi Dewan Rakyat hujung Julai lepas.

Bagi tujuan itu, katanya, Jawatankuasa Dewan Rakyat akan berbincang dengan ketua-ketua whip parti kerajaan dan pembangkang dalam tempoh terdekat berdasarkan nasihat yang akan dikemukakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Seperti sebelum ini, Jawatankuasa Dewan Rakyat akan panggil semua ketua whip daripada parti kerajaan dan pembangkang untuk berbincang (jumlah kehadiran ahli Parlimen).

“Belajar daripada apa yang berlaku pada sidang khas Dewan Rakyat baru-baru ini, kita perlukan langkah pencegahan yang lebih mantap,” katanya kepada Bernama selepas program serahan Bantuan Bakul Makanan kepada 50 artis veteran anjuran Persatuan Kebajikan Artis Veteran Malaysia (PKAVM) di Desa Melawati, di sini pada Selasa.

Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen ke-14 bagi Dewan Rakyat yang sepatutnya berlangsung pada 26 hingga 29 Julai dan 2 Ogos, hanya bersidang selama empat hari dan terpaksa ditangguhkan berikutan berlaku penularan jangkitan Covid-19 di bangunan Parlimen.

Sehingga 8 Ogos, sebanyak 88 kes positif wabak berkenaan dikesan melibatkan individu yang menghadiri sidang khas itu. - Bernama

Artikel Berkaitan: