Siti Sarah sentiasa ada di belakang sokong setiap usaha Shuib: Rahim

Rahim bersama Shuib dan dua lagi waris keluarga dibenarkan memakai pakaian perlindungan peribadi (PPE) bersama petugas dari HTCM untuk menyempurnakan upacara pengebumian Allahyarham Siti Sarah di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu pada Isnin.
Rahim bersama Shuib dan dua lagi waris keluarga dibenarkan memakai pakaian perlindungan peribadi (PPE) bersama petugas dari HTCM untuk menyempurnakan upacara pengebumian Allahyarham Siti Sarah di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu pada Isnin.
A
A
A

GOMBAK - Sepanjang mengenalinya, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin disifatkan pelakon dan pelawak terkenal, Rahim Mat Ali seorang yang tinggi adab dan pekertinya.

Kata Rahim, 50, isteri kepada sahabat karibnya, Shuib itu juga seorang yang mudah didekati dan menghormati orang lain.

Bahkan, ujar Rahim, apa yang dikaguminya mengenai Siti Sarah ialah, Allahyarham sentiasa berada di belakang suaminya menyokong setiap usaha Shuib.

"Bila saya berkawan dengan suami dia, isterinya adalah kawan baik saya dan sepanjang perkenalan kami memang seorang yang mudah didekati, penuh dengan adab, berbudi Bahasa. Allahyarham sentiasa berada di belakang Shuib memberi sokongan moral kepadanya,” kata Rahim kepada Astro AWANI ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Sungai Pusu di sini pada Isnin.

Sebaik menerima berita pemergian Siti Sarah ke rahmahtullah akibat jangkitan Covid-19 pada awal pagi Isnin, perkara pertama yang terlintas di fikiran Rahim ialah bagaimana keadaan Shuib.

Kata Rahim, seperti yang diketahui ramai, Shuib dan isterinya merupakan pasangan yang ideal dan sering berdua-duaan ke mana-mana sahaja.

"Sebab tadi masa saya sampai (ke tanah perkuburan) saya cari Shuib sebab muka dia kosong, sunggul, sedih bila dia bercakap saja berlinang air mata, jadi saya sebagai kawan rapat turut rasa kesedihan itu,” ujar Rahim.

Selain mengenali Siti Sarah sebagai seorang yang berperibadi menawan, sifat pemurah Allahyarham dan suaminya juga sangat dicemburui Rahim.

Artikel Berkaitan:

Justeru, jelasnya, dia tidak terkejut kerana ramai orang tidak putus-putus mendoakan Siti Sarah ketika Allahyarham sedang bertarung dengan nyawa sehinggalah jenazahnya dibawa ke liang lahad.

"Tidak terkejut ramai orang mendoakan dia (Allahyarham Siti Sarah). Sebab mereka ini suami isteri orang baik, masa saya turut sama menyempurnakan jenazah tadi, Alhamdulilah cuaca pun memudahkan.

"Saya juga mendoakan agar Shuib terus kuat, masih lagi ramai perlukan dia, anak-anak dia, staf dia, dia kena kuat. Saya doakan agar segala urusan dia dipermudahkan. Saya yakin, segala dugaan ini adalah harga yang perlu dibayar untuk hikmah yang akan datang," jelas Rahim lagi.

Rahim antara yang diberi peluang mengiringi Shuib dalam menyempurnakan upacara pengebumian Allahyarham Siti Sarah di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu.

Rahim bersama Shuib dan dua lagi waris keluarga dibenarkan memakai pakaian perlindungan peribadi (PPE) bersama petugas dari Hospital Canselor Tuanku Mukhriz (HTCM).

Jenazah Allahyarham Siti Sarah selamat dikebumikan kira-kira pukul 1.30 tengah hari pada Isnin. - Awani