768,700 orang menganggur pada Jun 2021

Kenyataan Media Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM)
Kenyataan Media Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM)
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan seramai 768,700 orang menganggur dengan kadar pengangguran juga dicatatkan meningkat kepada 4.8 peratus pada Jun berbanding 4.5 peratus pada Mei tahun ini.

Laporan yang dibuat berdasarkan keluaran Statistik Tenaga Buruh Malaysia pada Jun dan suku kedua tahun 2021 itu menunjukkan kedudukan penawaran buruh berdasarkan Survei Tenaga Buruh.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, bilangan penduduk bekerja menurun sebanyak 0.5 peratus kepada 15.30 juta orang (Mei 2021: 15.37 juta orang) dengan nisbah guna tenaga kepada penduduk jatuh sebanyak 0.4 mata peratus kepada 65 peratus.

Dr Mohd Uzir Mahidin
Dr Mohd Uzir Mahidin

“Seterusnya, kadar pengangguran meningkat kepada 4.8 peratus setelah merekodkan penurunan bagi tempoh empat bulan berturut-turut,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata, bilangan penduduk bekerja mengikut sektor ekonomi pada Jun 2021 menunjukkan kesemua sektor ekonomi mencatatkan penurunan guna tenaga.

Menurutnya, sektor perkhidmatan merekodkan pengurangan bulan ke bulan buat pertama kalinya setelah mencatatkan peningkatan selama 12 bulan.

“Penurunan dalam sektor perkhidmatan sebahagian besarnya aktiviti penginapan dan perkhidmatan makanan dan minuman; hartanah dan perdagangan borong dan runcit.

Artikel Berkaitan:

“Dari segi taraf pekerjaan, kategori pekerja iaitu 77.6 peratus yang merupakan komposisi terbesar penduduk bekerja telah berkurang sebanyak 56,700 orang (-0.5 peratus) kepada 11.87 juta orang berbanding bulan sebelumnya (Mei 2021: 11.93 juta orang),” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, terdapat lima negeri merekodkan kadar pengangguran tertinggi pada suku kedua 2021 adalah Labuan (8.8 peratus), Sabah (8.7 peratus), Perlis (5.3 peratus), Kelantan (4.8 peratus) dan Selangor (4.4 peratus).

Selain itu, katanya, Pulau Pinang (73.5 peratus), Kuala Lumpur (73.4 peratus), Selangor (74.9 peratus), Sarawak (69.4 peratus) and Sabah (66.7 peratus) mencatatkan kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) yang tertinggi pada suku tersebut.

“Pada suku ini, bilangan tenaga buruh berkurang sebanyak 36,100 orang kepada 15.97 juta orang berikutan penurunan bilangan penduduk bekerja dan penganggur.

“Bilangan penduduk bekerja berkurang sebanyak 0.2 peratus kepada 15.21 juta orang terutama dalam sektor perkhidmatan, pertanian serta perlombongan dan pengkuarian.

“KPTB pada suku ini adalah 68.3 peratus dengan kedua-dua lelaki dan perempuan masing-masing mencatatkan kadar 80.8 peratus dan 55.0 peratus," katanya.