MKN tolak permohonan MFL

AB GHANI
AB GHANI
A
A
A

JADUAL Liga Super dan Liga Premier terpaksa dipinda selepas permohonan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk meminta hanya pegawai dan pemain positif Covid-19 sahaja menjalani proses kuarantin ditolak Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, keputusan MKN untuk menolak permohonan MFL dibuat selepas mengambil kira kes harian Covid-19 yang semakin serius dan menular semakin cepat dalam negara masa kini.

"MFL akur dengan keputusan MKN di mana individu yang didapati positif wajib menjalani Prosedur Operasi Standard (SOP) selama 14 hari bagi memastikan mereka sembuh dan mengelak daripada penyebaran Covid-19 dalam pasukan.

"Jadi pemain-pemain yang kontak rapat (tidak positif) pula dikehendaki menjalani kuarantin 10 hari di mana mereka tidak dibenarkan menjalani sesi latihan sepanjang tempoh kuarantin.

"MFL berharap agar semua pasukan lebih berhati-hati dan meningkatkan tahap kepatuhan SOP Covid-19 bagi memastikan tiada kes berlaku lagi selepas ini demi menjamin kelancaran saingan Liga Malaysia musim ini,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut, MFL telah mengambil pendekatan meminda jadual selepas merujuk kes membabitkan pasukan Kedah Darul Aman FC (KDA) dan Kuching City FC (KCFC) yang perlu menjalani proses kuarantin selama 14 hari apabila pemain dan pegawai mereka telah disahkan positif Covid-19.

"Pindaan jadual perlu dilakukan bagi memberi keseimbangan serta menjaga integriti saingan Liga Malaysia selepas lima perlawanan Liga Super melibatkan KDA dan tujuh perlawanan Liga Premier membabitkan KCFC terpaksa ditunda susulan kes Covid-19.

"Menerusi pindaan terbaharu ini, perlawanan-perlawanan tertunda yang melibatkan pasukan KDA dan KCFC akan dijalankan di antara hari-hari perlawanan Liga Super dan Liga Premier yang telah ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

"Maka dengan itu, perlawanan terakhir liga iaitu Liga Premier ke-22 dan Liga Super ke-22 akan dijalankan secara serentak dan ia berlangsung pada hari yang berbeza termasuk melibatkan pasukan KDA dan KCFC," katanya.