Anggota imigresen cedera dilanggar kereta terbabas

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang anggota jabatan imigresen cedera selepas motosikal yang ditunggang dilanggar sebuah kereta terbabas malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 malam di KM 4.4 Lebuhraya Penyuraian Timur (EDL) itu, mangsa wanita berusia 29 tahun difahamkan berada di belakang kenderaan terbabit.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurinain Jais berkata, kemalangan dipercayai berpunca apabila kereta yang dipandu seorang lelaki berusia 49 tahun hilang kawalan.

"Berdasarkan siasatan awal, kereta dengan nombor pendaftaran Singapura itu datang dari arah negara berkenaan mahu menghala ke Pandan.

"Setibanya di tempat kejadian, kereta itu telah hilang kawalan dan melanggar tembok batu pembahagi jalan sebelum berpusing dan melanggar mangsa dari arah belakang," katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Shahurinain berkata, kemalangan terbabit kemudiannya mengakibatkan mangsa terjatuh dan mengalami kecederaan di bahagian muka, tangan serta lutut.

"Mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) untuk menerima rawatan," katanya.

Beliau berkata, susulan kejadian, polis turut bertindak menahan kenderaan bernombor Singapura berkenaan di Balai Trafik Johor Bahru Selatan untuk siasatan selanjutnya.

Artikel Berkaitan:

Kes disiasat mengikut Peraturan 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 (Rule 10 LN 166/59)