'Saya kekal bersama UMNO walaupun sokong PN'

Khairy melawat Studio Iskandar Malaysia yang bakal dijadikan sebagai PPV pada Ahad.
Khairy melawat Studio Iskandar Malaysia yang bakal dijadikan sebagai PPV pada Ahad.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menegaskan kekal setia kepada UMNO meskipun menyokong Perikatan Nasional (PN) sehingga keabsahannya ditentukan pada September nanti.

Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berkata, tiada sebab untuknya meninggalkan UMNO meskipun beliau mempunyai masalah kepercayaan terhadap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Saya masih setia dengan UMNO. Saya orang parti, saya merayu kepada parti untuk sehingga September iaitu sehingga undian dilakukan bagi menentukan keabsahaan PN, biarlah saya buat kerja dulu. Sehingga tempoh undian itu, saya masih bersama kerajaan.

"Isunya sekarang, saya ada masalah kepercayaan dengan presiden. Pada Oktober, presiden menghantar surat kepada Yang di- Pertuan Agong mendakwa semua ahli Parlimen UMNO memberi sokongan kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri.

"Sedangkan saya tidak pernah dirujuk dan ditanya presiden, jauh sekali memberi kebenaran kepada presiden guna nama saya," katanya pada sidang akhbar di Studio Iskandar Malaysia yang bakal dijadikan sebagai pusat pemberian vaksin (PPV) di sini pada Ahad.

Menurut Khairy, rakaman suara Ahmad Zahid dengan Anwar turut menimbulkan isu kepercayaan.

"Apabila timbul rakaman perbualan presiden dengan ketua pembangkang, rakaman itu dinafikan. Selepas itu, hendak buat laporan polis dan kemudian mengaku pula rakaman itu tulen, bagaimana saya hendak percaya presiden begini?" katanya.

Pada Jumaat, seramai 31 ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) diketuai Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan sokongan serta kekal bersama kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Artikel Berkaitan:

Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO memaklumkan, 10 lagi ahli Parlimen tidak hadir, tetapi bersetuju secara mulut kerana belum menandatangani pendirian berkenaan.

Antaranya, Khairy Jamaluddin (Rembau); Datuk Seri Dr Adham Baba (Tenggara); Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (Kepala Batas) dan Datuk Seri Hishammuddin Hussein (Sembrong).

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!