Keputusan beri kelonggaran dibuat berhati-hati

Muhyiddin Yassin ketika menyampaikan pengumuman khas mengenai kemudahan bagi individu yang telah lengkap vaksinasi pada Ahad. - Foto Bernama
Muhyiddin Yassin ketika menyampaikan pengumuman khas mengenai kemudahan bagi individu yang telah lengkap vaksinasi pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMASKINI] Keputusan memberi kemudahan kepada individu yang menerima dua dos vaksinasi lengkap dibuat dengan sangat berhati-hati, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata ia adalah selaras dengan data yang dikumpul di dalam negara tentang keberkesanan vaksinasi lengkap serta prinsip sains dan kesihatan awam yang diguna pakai di seluruh dunia.

"Keputusan pemberian kemudahan ini semestinya akan memberi risiko peningkatan bilangan kes harian.

Namun, kerajaan juga tidak boleh memandang ringan manfaat setelah divaksin lengkap dan juga peranan kemudahan-kemudahan ini terhadap kesihatan mental dan fizikal rakyat serta aktiviti ekonomi negara," katanya dalam pengumuman khas mengenai kelonggaran kemudahan itu pada Ahad.

Menurut beliau penerima vaksin lengkap dapat mengukuhkan sistem pertahanan badan terhadap jangkitan virus Covid-19 dan melindungi diri daripada mendapat gejala jangkitan yang lebih teruk, serta mampu mengurangkan kadar kebolehjangkitan kes positif Covid-19 sebanyak 50 peratus.

Muhyiddin berkata, dalam tempoh enam minggu kebelakangan ini, terdapat trend penurunan kadar kemasukan ke wad dan unit rawatan rapi (ICU) di Hospital Sungai Buloh bagi warga emas berusia 60 tahun ke atas.

Beliau berkata situasi itu menunjukkan pemberian vaksin kepada kumpulan warga emas dalam Fasa Dua Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang dilaksanakan sejak 19 April lepas, mula menghasilkan impak yang positif dalam konteks kesihatan.

"Begitu juga bagi petugas-petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang telah menerima vaksin COVID-19 sejak PICK dimulakan pada 24 Feb 2021.

Artikel Berkaitan:

"Seramai 246,242 petugas telah menerima vaksinasi lengkap dan didapati hanya 4,635 iaitu 1.88 peratus dijangkiti COVID-19 dan daripada jumlah kes positif itu, seramai 4,625 atau 99.78 peratus hanya mengalami gejala ringan atau tidak bergejala," katanya.

Menurut beliau, tiada dalam kalangan petugas KKM mengalami jangkitan Covid-19 Kategori Lima manakala hanya tujuh kes iaitu 0.15 peratus mengalami jangkitan Kategori Tiga dan tiga kes (0.06 peratus) dalam Kategori Empat.

Muhyiddin berkata, jika lebih ramai yang menerima suntikan vaksinasi lengkap dan lebih ramai yang dilindungi daripada jangkitan yang lebih teruk, maka beban kepada sistem kesihatan awam akan berkurang dan lebih banyak sektor ekonomi serta sosial yang dapat dibuka secara berperingkat, dan negara dapat keluar daripada pandemik itu dengan lebih teratur dan selamat.

Jelas beliau, bagi memastikan suntikan vaksinasi diberikan secepat dan sebanyak mungkin, terutamanya dengan kehadiran varian-varian baharu yang lebih ganas, kerajaan telah menggerakkan seluruh jentera kerajaan dan bekerjasama dengan pihak swasta serta badan bukan kerajaan dalam satu pendekatan whole of nation.

"Analogi mudahnya ialah apabila seseorang itu menerima dos suntikan vaksinasi yang lengkap, seseorang mempersiapkan tubuhnya dengan 'askar' atau antibodi bagi melawan 'musuh' iaitu kuman atau penyakit.

Jika 'musuh' datang menyerang tetapi, baru kita mahu melatih 'askar' berperang, ia sudah agak terlambat kerana tubuh terpaksa berdepan dengan kesan yang teruk akibat jangkitan itu, oleh itu, vaksinasi memastikan penghasilan antibodi badan lebih awal bagi melawan penyakit berbahaya dan dalam hal ini virus Covid-19," katanya.

Perdana Menteri berkata, berkat kerjasama semua pihak, usaha kerajaan untuk meningkatkan kadar vaksinasi telah menunjukkan pencapaian yang amat membanggakan dan terbukti rakyat menyahut panggilan serta menyambut baik seruan kerajaan untuk menerima vaksinasi. - Bernama