Kelantan rayu lulus 1 juta vaksin

Ahmad (dua dari kiri) menyempurnakan gimik pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Kelantan 2021 di Kompleks Kota Darul Naim, Kota Bharu pada Ahad.
Ahmad (dua dari kiri) menyempurnakan gimik pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Kelantan 2021 di Kompleks Kota Darul Naim, Kota Bharu pada Ahad.
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan negeri Kelantan merayu Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) meluluskan segera permohonan sejuta dos vaksin Covid-19 bagi menyelamatkan nyawa rakyat di negeri ini sebelum berdepan musim tengkujuh pada Oktober ini.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, pihaknya khuatir sekiranya Kelantan tidak sempat mencapai 80 peratus imunisasi kelompok dalam tempoh kurang dua bulan ini.

Menurut beliau, setakat ini, Kelantan mencapai 30 peratus dos pertama vaksin, manakala lebih 13 peratus dos kedua.

“Kita akan capai 40 peratus penduduk Kelantan divaksin pada akhir Ogos ini sekiranya bekalan vaksin dapat diperoleh mengikut jadual yang ditetapkan.

“Kita rayu MOSTI supaya menyempurnakan permohonan satu juta dos kerana khuatir sekiranya tidak sempat mencapai 80 peratus penduduk Kelantan yang disuntik sebelum musim tengkujuh,” katanya kepada pemberita pada Ahad.

Beliau ditemui selepas melancarkan Program Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Kelantan 2021 di Kompleks Kota Darul Naim di sini.

Hadir sama, Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat dan Jabatan Penerangan (JaPen) Kelantan, Azahar Ismail.

Artikel Berkaitan:

Ahmad (tiga dari kiri) menyampaikan Jalur Gemilang kepada Panglima 8 Briged, Briged Jeneral Abu Hassan Asha’ari Kamis@Shaffiee sempena pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Kelantan 2021 pada Ahad.

Ahmad mengulas lanjut, pihaknya mempertimbangkan pemberian vaksin secara ‘walk in’ di pusat pemberian vaksin (PPV) negeri sekiranya bekalan diperoleh mencukupi untuk berbuat demikian.

“Kita ada keupayaan dengan 27 PPV yang ada dengan 23 yang beroperasi ketika ini selain khidmat sukarelawan dalam pelbagai peringkat termasuk program outreach.

“Kita mampu berikan suntikan 33,000 sehari apabila ada bekalan vaksin dan akan bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Kelantan sekiranya dapat melakukan vaksin secara ‘walk in’,” katanya.