Sembunyi rokok seludup dalam rumah sarang burung walit

Rokok yang disembunyikan di rumah sarang burung walit, Jalan Payang, Lahad Datu.
Rokok yang disembunyikan di rumah sarang burung walit, Jalan Payang, Lahad Datu.
A
A
A

LAHAD DATU - Taktik penyeludup menyembunyikan rokok bernilai lebih RM300,000 di sebuah rumah sarang burung walit gagal mengaburi mata pihak berkuasa apabila diserbu dalam Ops Kontraban di Jalan Payang pada Sabtu.

Dalam kejadian jam 6.45 petang itu, sebanyak 1,698 karton pelbagai jenis rokok seludup dirampas dan seorang lelaki berusia 22 tahun turut ditahan anggota Batalion 17 Pasukan Gerakan Am (PGA) Lahad Datu.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, serbuan itu dibuat berdasarkan maklumat risikan yang diperoleh anggotanya.

"Dalam serbuan itu, seorang lelaki warga Indonesia ditahan dan hasil pemeriksaan menemui puluhan plastik hitam serta kotak yang berisi 1,698 rokok seludup pelbagai jenis di rumah sarang burung walit.

"Semua rokok seludup yang dirampas itu bernilai RM314,879," katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Mohd Abduh berkata, semua rampasan rokok dan tangkapan dibawa ke Balai Polis Lahad Datu untuk tindakan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967," katanya.

Artikel Berkaitan: