Miniatur biskut gula aising, keropok roda gamit kenangan

Miniatur biskut gula aising, biskut ikan dan keropok roda yang dihasilkan Joyee Tan.
Miniatur biskut gula aising, biskut ikan dan keropok roda yang dihasilkan Joyee Tan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Memori membeli snek atau 'jajan' secara timbang yang disusun di dalam tin besar di kedai runcit atau pasar malam pastinya menggamit kenangan kalangan kita yang membesar pada era 60-an hingga 90-an.

Kenangan tersebut turut tersemat rapi dalam ingatan Joyee Tan, 25, dan memberi ilham kepadanya menghasilkan miniatur rantai kunci dan subang dalam bentuk keropok roda, biskut gula aising dan biskut berbentuk ikan bersaiz sekitar 3 sentimeter yang hampir menyamai saiz sebenar makanan nostalgia tersebut.

Lebih menarik dan menonjolkan ciri lokal, miniatur buatan tangan sepenuhnya daripada bahan 'resin clay' atau ‘soft clay’ itu juga divisualkan bersama bungkusan beg plastik dan balang berpenutup merah yang sering digunakan untuk menyimpan snek tersebut.

"Idea untuk menghasilkan koleksi snek ini tercetus selepas ibu saya membawa pulang biskut aising berwarna-warni baru-baru ini, memori dan kenangan indah zaman kanak-kanak secara automatik terimbau apabila melihat biskut tersebut.

"Ramai yang merindui kenangan zaman kanak-kanak tambahan pula dalam situasi sukar yang dihadapi kini...(pada masa itu) kita belum mempunyai komitmen dan tanggungjawab serta tidak perlu berfikir banyak perkara selain berasa bebas dan sentiasa gembira," katanya kepada Bernama.

Joyee Tan menunjukkan cara membuat miniatur rantai kunci biskut gula aising, keropok roda, dan biskut ikan daripada bahan seperti 'resin clay' menggunakan alat seperti 'epoxy putty', 'AB silicone liquid', 'mould putty', berus (shapers brushes) dan pisau kraf (craft knife).
Joyee Tan menunjukkan cara membuat miniatur rantai kunci biskut gula aising, keropok roda, dan biskut ikan daripada bahan seperti 'resin clay' menggunakan alat seperti 'epoxy putty', 'AB silicone liquid', 'mould putty', berus (shapers brushes) dan pisau kraf (craft knife).

Ditanya berkenaan cabaran terbesar dalam menyiapkan miniatur, Joyee berkata pembuatan yang memerlukan masa dua hingga lima jam seunit itu memerlukan ketelitian dan kesabaran sangat tinggi.

“Mula-mula saya akan membentuk tanah liat mengikut saiz dikehendaki dan mencantumkan ia menjadi objek dengan bantuan alat seperti 'epoxy putty', 'AB silicone liquid', 'mould putty', berus (shapers brushes), dan pisau kraf," katanya.

Artikel Berkaitan:

Joyee yang mengusahakan perniagaan tersebut bersama sahabat baiknya Renee Wong, 23, sejak Februari lepas turut menghasilkan pelbagai miniatur makanan lain seperti croissant, onigiri serta makanan tradisional kuih kapit.

"Pada mulanya kami (Joyee dan Renee ) banyak menghasilkan miniatur makanan berasal dari negara luar, tetapi miniatur seperti ini mudah didapati di mana-mana, jadi untuk tampil unik, kami mula mengetengahkan makanan tempatan," katanya yang mahu fokus dengan konsep makanan.

Beroperasi di rumahnya di Setapak, Kuala Lumpur, Joyee juga yakin bahawa makanan mempunyai nilai sentimental tersendiri bagi setiap individu yang mampu membangkitkan kenangan sama ada pahit atau manis.

"Saya sering dihadiahkan makanan oleh rakan-rakan kerana sifat suka mencuba, walaupun gembira pada ketika itu namun timbul perasaan 'terkilan' kerana tentunya makanan bukanlah barangan yang boleh disimpan (secara fizikal) selamanya.

"Oleh sebab itulah saya mula membuat miniatur makanan kerana mahu 'mengawetnya', jadi makna dan memori di sebalik makanan tersebut tidak dilupakan begitu sahaja.

"Mungkin ramai yang beranggapan cukuplah sekadar menyimpan kenangan tersebut dalam ingatan, tetapi pada saya, kenangan berharga itu secara perlahan-lahan akan dilupakan jika tiada imej atau objek yang boleh mengingatkannya," katanya yang berhasrat menghasilkan lebih banyak miniatur bercirikan makanan masyarakat Malaysia.

Memasarkan barangan tersebut di bawah jenama 1/12 Space secara dalam talian dengan harga sekitar RM12 hingga RM127, miniatur itu juga mendapat sambutan baik daripada pelanggan dengan mendapat lebih 40 tempahan sebulan. - Bernama