Lelaki jalani kuarantin di rumah ditemui meninggal dunia

Anggota penyelamat mengeluarkan mayat mangsa yang ditemui meninggal dunia dalam kejadian itu. - Foto ihsan JBPM Selangor
Anggota penyelamat mengeluarkan mayat mangsa yang ditemui meninggal dunia dalam kejadian itu. - Foto ihsan JBPM Selangor
A
A
A

PETALING JAYA - Seorang lelaki yang sedang menjalani kuarantin di rumah selepas positif wabak Covid-19 ditemui meninggal dunia, pada Jumaat.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd Noor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.26 malam dan sepasukan anggota ke rumah mangsa yang terletak di Taman Indah Jaya, di sini.

Hafisham berkata, sejurus tiba, pihaknya mendapati terdapat satu mayat lelaki berusia 41 tahun sedang terbaring dalam sebuah bilik di tingkat satu kediaman berkenaan.

"Anggota bertugas bertindak mengangkat mayat keluar dan menyerahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya," katanya dalam satu kenyataan, pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Hafisham berkata, menerusi siasatan awal, mangsa dijangkiti wabak Covid-19 daripada dua lagi adiknya yang turut tinggal bersama di rumah berkenaan.

Menurutnya, mangsa diarahkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menjalani kuarantin di rumah selepas didapati positif wabak berkenaan menerusi ujian saringan yang dilakukan pada 29 Julai lalu.

"Pada hari kejadian, mangsa dikatakan meracau dan sukar bernafas sekitar jam 5.30 pagi.

"Pada jam lebih kurang 12.30 tengah hari, adik mangsa mengejutkannya untuk memesan makanan dan mendapati dia sudah tidak sedarkan diri serta disyaki meninggal dunia," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Hafisham, hasil siasatan turut mendapati mangsa berkenaan tidak mempunyai sebarang sejarah penyakit lampau.