UMNO Sabah kekal sokong kerajaan GRS

Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin.
A
A
A

KOTA KINABALU - UMNO Sabah menjelaskan pendiriannya untuk terus kekal dan menyokong kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada malam Jumaat, UMNO Sabah turut menyatakan harapan agar pendirian itu dihormati semua pihak demi kestabilan, keharmonian dan kemakmuran rakyat serta negeri Sabah.

"Sebagai adik bongsu berautonomi kepada UMNO Malaysia, apa juga keputusan dan ketetapan diputuskan oleh pucuk pimpinan tertinggi parti akan sentiasa dihormati dan diakuri oleh UMNO Sabah dan disesuaikan dengan kuasa autonomi UMNO Sabah.

"Mandat yang diberikan rakyat kepada UMNO Sabah dalam Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16) lalu akan dihormati, diperkukuh dan dimatangkan.

"Oleh itu, UMNO Sabah berpendirian untuk terus kekal dan menyokong GRS di bawah kepemimpinan Datuk Seri Hajiji Noor," katanya.

Kenyataan itu turut menjelaskan, UMNO Sabah menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selaku ketua utama negara supaya semua pihak menghormati prinsip kedaulatan undang-undang.

"Seperti termaktub dalam Fasal 3 Perlembagaan UMNO, semua saf kepemimpinan dan ahli UMNO Sabah menumpahkan sepenuh taat setia kepada raja-raja Melayu dan berikrar untuk terus mendukung serta memayungi Perlembagaan Persekutuan dan perlembagaan negeri-negeri," jelas beliau.

Artikel Berkaitan: