Kebimbangan pembangkang jadi kenyataan: AMK Selangor

Laporan Sinar Harian pada Jumaat. Gambar kiri: Chua Wei Kiat
Laporan Sinar Harian pada Jumaat. Gambar kiri: Chua Wei Kiat
A
A
A

SHAH ALAM - Kebimbangan pihak pembangkang sebelum ini menjadi kenyataan apabila sektor perkilangan dilaporkan menjadi penyumbang terbesar bagi kluster Covid-19 di Selangor.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor, Chua Wei Kiat berkata, AMK sebelum ini mendesak kerajaan Perikatan Nasional (PN) menutup sementara sektor perkilangan di negeri berkenaan serta kerajaan negeri juga diminta berbuat demikian bagi memastikan sektor itu tidak menjadi penyumbang terbesar kluster Covid-19.

"Namun Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali memberikan amaran dengan tindakan saman jika kerajaan negeri melangkaui keputusan kerajaan pusat.

"Di Dewan Rakyat Mohamed Azmin juga menafikan sektor perkilangan menjadi penyumbang kluster terbesar (di Selangor). Ini jelas kenyataan yang mengelirukan dewan atau (beliau) berbohong," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau mengulas ciapan di Twitter rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (@KKMPutrajaya) pada Jumaat yang memaklumkan sektor perkilangan merupakan penyumbang terbesar kluster Covid-19 di Selangor.

Ciapan KKM berdasarkan kenyataan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor itu turut memaklumkan tiada satu pun kluster di Selangor berpunca daripada sambutan perayaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiada kluster Aidiladha di Selangor, sektor kilang penyumbang terbesar kes

Dalam pada itu, Wei Kiat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang berkata, bagi menaikkan semula ekonomi dengan pelan tidak jelas, kerajaan sebenarnya hanya menjadikan keadaan semakin teruk.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, Selangor atau Lembah Klang amnya telah lumpuh dengan catatan kes harian lebih 10,000 kes sehari dan dalam tempoh dua minggu menyumbang 100,000 kes positif Covid-19 serta kes kematian tertinggi.

"Kerajaan hari ini bukan sahaja gagal menjaga keselamatan rakyat, malah tidak peduli kesihatan rakyat dengan mengerah rakyat berdepan dengan wabak pembunuh demi menaikkan semula ekonomi," katanya.

Menurutnya, kerancakan Program Imunisasi Kebangsaan juga tidak boleh dijadikan kayu ukur dan justifikasi untuk sektor perkilangan terus beroperasi dalam skala besar di seluruh negara terutama di Selangor.

Katanya, AMK menggesa kerajaan mengeluarkan data jumlah pekerja kilang yang menerima suntikan vaksin Covid-19 bagi memastikan pekerja kilang mendapat perlindungan sewajarnya.

Menurutnya, ia adalah penting agar umum tahu sama ada pekerja kilang diberi keutamaan mendapatkan vaksin dalam Program Imunisasi Kebangsaan atau mereka hanya dikerah untuk menjana ekonomi tanpa perlindungan sewajarnya.