'Saya hantar surat ikut etika, perlembagaan parti'

Datuk Seri Ahmad Maslan
Datuk Seri Ahmad Maslan
A
A
A

PONTIAN - Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan menegaskan ahli Parlimen UMNO sewajarnya tidak mempertikaikan surat yang meminta mereka menyatakan pendirian sama ada tidak menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN), meletak jawatan atau menyokong PN dan tidak akan meletak jawatan kerana tindakan itu dibuat berdasarkan perlembagaan serta etika parti.

Ahmad menjelaskan surat yang dihantar itu berdasarkan kapasiti jawatannya sebagai Setiausaha Agung UMNO dengan menggunakan lambang parti dan bukan atas nama dirinya.

"Saya (Ahmad Maslan) memang tiada kuasa, tetapi sebagai Setiausaha Agung UMNO, saya perlu menjalankan tugas dengan melaksanakan arahan-arahan parti.

"Oleh itu pihak yang mempertikaikannya adakah mereka faham, mereka bertanding atas tiket UMNO yang mewakili Barisan Nasional (BN). Jadi surat saya tidak bertentangan dengan etika parti," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata demikian ketika ditemui selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Benut di sini pada Jumaat.

Pada Khamis, Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menegaskan beliau tidak akan menjawab surat yang dihantar Setiausaha Agung UMNO itu.

Mohamed Nazri menegaskan sebagai Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), beliau hanya akan akur dengan keputusan yang dibuat Dewan Tertinggi BN.

Sebelum itu, Ahmad Maslan dilaporkan telah menghantar surat kepada semua Ahli Parlimen UMNO agar menyatakan pendirian mereka secara bertulis dengan menjawab borang yang dikepilkan sebelum 7 Ogos.

Artikel Berkaitan:

Menerusi surat itu juga, Ahmad Maslan mengingatkan semua Ahli Parlimen UMNO agar patuh kepada ketetapan yang telah dibuat oleh Majlis Kerja Tertinggi UMNO pada 3 Ogos 2021, yang antara lain menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional ( PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

ARTIKEL BERKAITAN: UMNO beri tempoh hingga Sabtu, semua ahli Parlimen nyata pendirian

Tempoh 48 jam jawab surat letak jawatan bertentangan perundangan