Program SMART SBB tingkat tahap sara diri pesawah

Proses penyemburan racun sedang giat dijalankan di SMART SBB Bernas.
Proses penyemburan racun sedang giat dijalankan di SMART SBB Bernas.
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) akan mempertingkatkan Tahap Sara Diri (SSL) beras negara sebanyak 75 peratus dalam tempoh Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12) menerusi Program Smart Sawah Berskala Besar (SMART SBB).

MAFI dalam kenyataan memaklumkan, terdapat beberapa jabatan dan agensi di bawahnya yang akan bertindak sebagai pemantau program dan aktiviti dalam melaksanakan dasar kerajaan serta menyediakan khidmat pengembangan kepada pesawah.

Menurut MAFI, antaranya, Jabatan Pertanian Malaysia (DOA), Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA).

“Pelaksanaan program SMART SBB ini melibatkan pesawah sebagai rakan kongsi utama kerajaan. Sehubungan itu, kepentingan dan kesejahteraan pesawah dalam sektor padi dan beras negara sentiasa menjadi keutamaan MAFI.

“Dalam menjaga kepentingan semua pihak yang terlibat, MAFI sentiasa mengadakan sesi libat urus bersama pihak berkepentingan termasuk pesawah melalui jabatan dan agensi yang terlibat bagi memastikan inisiatif ini dapat dilaksanakan secara efektif dengan kerjasama padu bagi mencapai objektif yang dihasratkan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dalam pada itu, MAFI berkata, program SMART SBB dan projek rintis ternakan udang galah dalam kawasan sawah padi di kawasan Felcra Seberang Perak merupakan dua inisiatif yang berbeza.

Bernas turut berkerjasama dengan Pengilang Bumiputera untuk melaksanakan program SMART SBB.
Bernas turut berkerjasama dengan Pengilang Bumiputera untuk melaksanakan program SMART SBB.

Tambah MAFI, projek rintis itu merupakan kerjasama Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Seberang Perak dengan sebuah syarikat swasta bertujuan meningkatkan pendapatan pesawah selain menikmati hasil daripada penanaman padi.

Artikel Berkaitan:

“Inisiatif ini bukan sebahagian daripada program SMART SBB.

“Justeru, tidak timbul isu kerajaan mengubah strategi pelaksanaan tersebut dengan penternakan udang seperti yang dinyatakan dalam kenyataan berkenaan,” ujarnya.

Sementara itu, MAFI berkata, usahasama sektor awam dan swasta juga akan membolehkan pesawah menikmati peningkatan hasil padi per metrik tan setahun sehingga 191 peratus dengan nilai pendapatan tahunan sebanyak 47 peratus.

Kata MAFI, pertambahan nilai pendapatan itu menerusi peningkatan purata hasil per hektar nasional daripada purata hasil semasa sebanyak 3.5 kepada 7.0 metrik tan.

“Malah hampir kesemua risiko dan kos penanaman padi yang sebelum ini ditanggung oleh pesawah akan dapat dikurangkan sekaligus meningkatkan margin pendapatan mereka.

“Inisiatif ini juga membolehkan pelaksanaan pendekatan baharu melalui konsep pertanian moden seperti pelaksanaan sistem profil tanah, pertanian pintar, kaedah teknologi baharu atau Internet of Things (IoT) selaras dengan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) untuk meningkatkan hasil per hektar,” jelasnya.

Sementara itu, MAFI berkata, menerusi SMART SBB juga, masalah pemutuan sebanyak dua kali di kawasan yang mempunyai pusat pembelian padi dan kadar yang tinggi dapat dielakkan.

“Pelaksanaan itu juga akan menghapuskan atau mengurangkan peranan orang tengah yang mengaut keuntungan atas angin dengan mengenakan caj perkhidmatan tinggi kepada pesawah bagi sewaan mesin dan jentera tanaman dan tuaian, pengawalan serangan makhluk perosak serta pengangkutan padi,” kata MAFI.