Minum air, elak pakaian tebal dan ketat: KKM

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan menggariskan beberapa panduan kepada orang ramai dalam mengurangkan kesan terhadap kesihatan akibat cuaca panas ketika ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, cuaca panas yang terlampau boleh menyebabkan seseorang kerap berpeluh dan kesannya, cecair dalam tubuh akan berkurangan.

Menurutnya, ia seterusnya menyebabkan individu terbabit akan mudah berasa letih dan kurang bertenaga serta lebih berisiko mengalami dehidrasi dan strok haba.

Justeru, katanya, Kementerian Kesihatan ingin menasihatkan orang ramai supaya minum air secukupnya dan minumlah air yang sudah dimasak.

“Hadkan aktiviti di luar dan jika tidak dapat dielakkan, pakai topi atau payung yang boleh melindungi diri daripada terlalu terdedah dengan cuaca panas.

“Pakai pakaian yang ringan dan elakkan pakaian tebal dan ketat. Sebolehnya berada di dalam rumah atau bangunan.

“Tinggallah dalam rumah yang mempunyai pengudaraan cukup atau kelengkapan pendingin hawa (sekiranya berkemampuan),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, mereka yang mengalami penyakit seperti batuk, selsema, asma, sakit mata, jangkitan paru-paru yang kronik perlu datang ke klinik dengan segera jika keadaan penyakit bertambah teruk.

Artikel Berkaitan:

“Perokok, pengguna rokok elektronik dan vape juga dinasihatkan supaya berhenti merokok dan berhenti menggunakan rokok elektronik dan vape,” katanya.

Panduan kesihatan mengenai cuaca panas dan kering ini boleh diperoleh menerusi laman web Kementerian Kesihatan http://www.myhealth.gov.my/cuaca-panas-a-kesihatan.