MOT tunggu hasil siasatan feri terbakar

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pengangkutan sedang menunggu hasil siasatan terhadap syarikat Dragon Star Shipping Sdn Bhd susulan kejadian kebakaran sebuah feri milik syarikat itu di Langkawi pada Isnin lalu.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, kementerian memandang serius tahap keselamatan yang dipraktikkan syarikat itu walaupun ia merupakan kali pertama kali feri syarikat tersebut terlibat dalam kejadian kebakaran.

Menurutnya, beberapa bulan lepas, feri syarikat sama dilaporkan terkandas di tengah laut.

"Satu audit dan penyiasatan sedang dijalankan, kita tunggu hasil siasatan ini sebelum sebarang tindakan lanjut diambil," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Feri penumpang Dragon Star 1 yang membawa 52 penumpang bersama seorang kapten dan lima anak kapal terbakar kira-kira 10 minit setelah berlepas dari Terminal Penumpang Kuah ke Jeti Kuala Perlis. Operasi perkhidmatan feri penumpang milik Dragon Star Shipping digantung serta-merta susulan kejadian kebakaran itu.

Anthony Loke berkata, siasatan akan dijalankan dalam "satu hingga dua minggu”dan pihak kementerian juga menunggu cadangan dan ulasan daripada Jabatan Laut Malaysia berhubung insiden itu.

Mengenai perkembangan isu Lapangan Terbang Seletar, Anthony Loke berkata, jawatankuasa teknikal Malaysia dan Singapura sedang berbincang bagi menyelesaikan isu ruang udara tersebut dan “berharap perkembangan yang baik bulan depan.”

Pegawai kerajaan kedua-dua negara dalam perundingan sejak Januari lalu bagi mencari penyelesaian berhubung pertelingkahan ruang udara di antara kedua-dua negara yang tercetus awal Disember lalu.

Artikel Berkaitan:

Malaysia membantah rancangan Singapura untuk memperkenalkan Sistem Pendaratan Instrumen di Lapangan Terbang Seletar, lapangan terbang kedua republik itu berhampiran sempadannya, mendakwa laluan penerbangan baharu tersebut akan menjejaskan pembangunan di sebelah Malaysia.

Mengenai tindakan MCA mempersoalkan kehadiran isterinya pada satu mesyuarat di China bulan lepas, Anthony Loke berkata:” Menteri China menjemput beliau untuk duduk bersama... MCA ada masalah ke dengan perkara itu.” - Bernama