Peluang cerah PH menang PRK Dun Semenyih

Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani - Foto Rosli Talib
Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani - Foto Rosli Talib
A
A
A

SHAH ALAM - PH dilihat mempunyai peluang lebih cerah untuk mengekalkan kerusi DUN Semenyih pada PRK kawasan itu, Sabtu ini.

Perkara tersebut diakui penganalisis politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berdasarkan kekuatan dan kelebihan PH sebagai kerajaan memerintah pada hari ini.

"Saya lihat PH mempunyai peluang lebih besar berbanding parti lawan kerana mereka ini adalah kerajaan dan rakyat masih bergantung kepada mereka untuk tujuan pembangunan.

"Selain itu, isu kebajikan rakyat dan pembangunan yang menjadi bahan kempen turut dilihat menjadi kekuatan PH untuk kekal di kawasan tersebut," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Wacana ‘Sinar Semenyih Paska PRK: Janji Untuk Rakyat' di Kompleks Media Karangkraf, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, walaupun PH berpeluang cerah untuk menang, namun kemenangan itu masih bergantung kepada jumlah pengundi yang keluar mengundi pada hari berkenaan.

Justeru itu, Mohd Azizuddin berkata dengan berbaki dua hari lagi (sebelum hari mengundi) kerajaan PH perlu mempergiat kempen untuk terus menyeru penduduk di kawasan DUN itu keluar mengundi pada Sabtu ini.

"Apabila jumlah pengundi kurang, ini secara tidak langsung akan menjejaskan keputusan pilihan raya kecil ini dan kemenangan itu dilihat boleh berpihak kepada parti lawan," tambahnya.

Kerusi DUN Semenyih kosong susulan kematian penyandangnya, Bakhtiar Mohd Nor daripada PH pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung.

Artikel Berkaitan:

PRK DUN Semenyih menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon PH, Muhammad Aiman Zainali, Zakaria Hanafi (BN), Nik Aziz Afiq Abdul (Parti Sosialis Malaysia) dan calon Bebas, Kuan Chee Heng. - Bernama