Penjawat awam digalak buat sumbangan wakaf: KSN

Muhyiddin ketika pelancaran Bulan Wakaf Kebangsaan. Foto Bernama
Muhyiddin ketika pelancaran Bulan Wakaf Kebangsaan. Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Penyertaan dan sokongan daripada 1.6 juta penjawat awam diperlukan bagi membolehkan wakaf menjadi sektor ketiga ekonomi negara yang dapat memanfaatkan setiap lapisan masyarakat.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, penjawat awam boleh melaksanakan wakaf secara potongan gaji sama ada melalui Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) atau Majlis Agama Islam Negeri masing-masing.

Ketika menyampaikan ucaptama pelancaran Waqf Breakfast Talk bertemakan ‘Penjawat Awam Pemangkin Kemakmuran Wakaf’ secara maya hari ini beliau memberitahu, seramai 6,616 penjawat awam telah berwakaf melalui potongan gaji sehingga 25 Julai lepas (2021).

'Wakaf bukan hanya difokuskan kepada pembangunan sosial tetapi perlu dilihat dalam konteks lebih besar iaitu sebagai satu daripada elemen penting dalam membantu pembangunan ekonomi negara.

"Tidak perlu menunggu sehingga mempunyai harta seperti rumah atau tanah untuk berwakaf, kini urusan pewakafan dipermudahkan melalui tunai sahaja," katanya.

Tambahnya, beliau telah meluluskan Pekeliling Am Bil. 1 Tahun 2020 Tatacara Pelaksanaan Sumbangan Wakaf Tunai Melalui Potongan Gaji Secara Sukarela Bagi Pegawai Awam yang berkhidmat di Wilayah Persekutuan dan negeri pada 20 Dis tahun lepas.

Beliau berkata Subseksyen 44(11D) Akta Cukai Pendapatan 1967 juga menggariskan galakan wakaf dalam kalangan penjawat awam menerusi potongan cukai selain berwakaf secara tunai melalui pemotongan gaji.

Mohd Zuki memberitahu, wakaf adalah berbeza dengan zakat kerana dana wakaf bukan sahaja diagihkan kepada masyarakat beragama Islam, malah ia boleh diagihkan kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira agama, kaum dan keturunan.

Artikel Berkaitan:

Sebagai contoh, katanya pelaksanaan enam projek di bawah Tabung Wakaf Tunai Khas Perkhidmatan Air Malaysia atau Wakaf Air yang dijalankan Kementerian Alam Sekitar dan Air di enam negeri telah memanfaatkan 2,880 penduduk sekitar.

Menurut Mohd Zuki, kerajaan juga memainkan peranan penting dalam pembangunan wakaf melalui penyediaan peruntukan pembangunan hartanah wakaf di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) hingga RMK-11 dengan jumlah keseluruhan RM299.33 juta, yang berjaya membangunkan 18 projek berimpak tinggi di atas tanah wakaf di beberapa negeri. - Bernama