X

Kindly register in order to view this article
!

Harimau Malaya diancam pembelot

Anggota badan Harimau Malaya atau harimau belang yang dijual di pasaran gelap berjaya dirampas oleh Perhilitan.
A
A

SHAH ALAM - Ketidaktelusan jati diri warga tempatan yang terlibat dalam jenayah pemburuan Harimau Malaya atau harimau belang (Panthera tigris jacksonii) menyumbang kepada kepupusan hidupan liar itu.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, jumlah terbaharu Harimau Malaya yang direkodkan di hutan negara adalah kurang daripada 200 ekor.

Angka itu, jelas Abdul Kadir, mencatatkan penyusutan yang ketara dan beliau tidak menafikan terdapat pembabitan warga tempatan dalam kegiatan pemburuan spesies haiwan liar ini.

“Hal ini benar dan memang ada penglibatan warga tempatan.

“Siasatan kita (Perhilitan), mendapati mereka ini terdiri daripada dua kumpulan. Satu, kumpulan sebagai pemberi maklumat kepada pemburu haram dan satu lagi kumpulan adalah pemburu haram.

“Pemberi maklumat ini biasanya terdiri daripada penduduk berhampiran kawasan hutan. Misalnya, Kampung A, di Pahang. Pemburu haram dari negeri luar datang ke kampung terbabit meronda dan meminta orang kampung salurkan maklumat berkenaan Harimau Malaya atau harimau belang,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Abdul Kadir
Abdul Kadir

Beliau berkata, penduduk kampung akan memberitahu info dari segi penemuan tapak harimau mahupun kehadiran haiwan liar itu sendiri.

Jelasnya, pemburu haram yang menerima maklumat terbabit akan datang ke kawasan yang dimaklumkan.

“Di sini, pemburu akan beri duit kopi kepada pemberi maklumat minimum RM50,” dedahnya.

Tambah Abdul Kadir lagi, kegiatan pemburuan Harimau Malaya ini akan menyumbang kepada kepupusan hidupan liar terbabit sekali gus menjejaskan ekosistem.

Tegasnya, Perhilitan akan meneruskan penguatkuasaan untuk membanteras sebarang bentuk jenayah hidupan liar dan mempertahankan spesies hidupan liar terutamanya spesies Harimau Malaya daripada terus menjadi mangsa pemburuan.

“Kita minta rakyat tempatan tidak terlibat dalam kegiatan pemburuan haram. Salurkan maklumat jika kesan kegiatan terbabit,” rayu beliau.

Hari Harimau Sedunia disambut pada 29 Julai setiap tahun untuk memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai penurunan populasi mamalia itu bukan sahaja di Malaysia bahkan di seluruh dunia.

Tema pada tahun ini ialah Their survival is in our hands.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!