Jumlah penderma menurun, stok darah makin kurang

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

SHAH ALAM - Stok darah di Pusat Darah Negara (PDN) dan Tabung Darah Negara masih lagi berkurangan dan pendermaan darah secara berterusan diperlukan walaupun negara sedang menghadapi pandemik Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia penting untuk membantu pesakit yang memerlukan termasuk pesakit kecemasan yang mengalami pendarahan di luar jangkaan seperti kemalangan dan komplikasi semasa bersalin.

Selain itu, beliau berkata, terdapat juga pesakit Covid-19 memerlukan transfusi darah berikutan individu berkenaan mempunyai latar belakang penyakit kronik.

“Purata darah yang diperlukan setiap minggu untuk kegunaan pesakit di seluruh negara adalah 14,000 beg darah, termasuk di PDN yang memerlukan 3,500 sehingga 4,000 beg darah setiap minggu bagi pembekalan kepada hospital-hospital di Lembah Klang.

“Namun, peningkatan kes Covid19 dari 31 Mei hingga 25 Julai lalu telah menyaksikan pengurangan kutipan darah yang ketara untuk seluruh negara terutama di Lembah Klang berikutan penurunan bilangan penderma yang tampil menderma,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, antara faktor penurunan itu adalah disebabkan kebimbangan masyarakat dan penderma darah terhadap keselamatan sepanjang proses menderma darah serta pembatalan kempen derma darah oleh penganjur.

“Tren penurunan ini amat membimbangkan dan ia boleh menjejaskan keupayaan dalam perawatan pesakit,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melalui PDN dan Tabung-Tabung Darah sentiasa mengutamakan keselamatan penderma darah, penganjur kempen derma darah dan petugas dalam memastikan proses pendermaan darah yang selamat.

Artikel Berkaitan:

“Antara prosedur operasi standard (SOP) yang dijalankan antaranya memastikan penderma darah dan petugas kesihatan adalah sihat sebelum memasuki ruang pendermaan darah.

“Ini termasuk saringan awal yang dilakukan ke atas bakal penderma di mana hanya mereka yang tiada gejala, tidak mengalami jangkitan Covid-19 atau tidak ada kontak rapat dengan pesakit Covid-19 dalam masa 14 hari sahaja yang boleh meneruskan pendermaan darah,” jelasnya.

Justeru, beliau meminta orang ramai untuk segera tampil menderma darah di PDN dan Tabung-Tabung Darah yang berhampiran, serta kempen derma darah bergerak bagi memastikan bekalan darah mencukupi sepanjang masa di samping menjadikan pendermaan darah sebagai satu budaya hidup sihat.

Orang ramai juga boleh melayari laman sesawang www.pdn.gov.my serta facebook PDN KKM bagi maklumat lanjut berkaitan waktu operasi, lokasi kempen derma darah dan perkembangan berkaitan perkhidmatan derma darah.