600 VAT, orang asli jadi renjer hidupan liar

Shamsul Anuar
Shamsul Anuar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA) melantik 600 Veteran Angkatan Tentera Malaysia (VAT) dan orang asli sebagai renjer hidupan liar di bawah Program Perlindungan Biodiversiti dan Rondaan (BP3) sehingga Jun lalu.

Menterinya, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, pelantikan itu bagi meningkatkan bilangan renjer, selain sebagai pengiktirafan kerajaan terhadap peranan anggota tersebut yang selama ini berkorban mempertahankan sumber kekayaan dan khazanah semula jadi negara.

“Renjer adalah anggota barisan hadapan. Mereka sebagai benteng bagi membanteras pencerobohan untuk melindungi biodiversiti.

"Renjer di negara ini berkhidmat dalam pelbagai agensi kerajaan persekutuan dan negeri, malah terdapat sukarelawan di bawah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang turut memainkan fungsi berkenaan,” katanya dalam kenyataan sempena Hari Renjer Sedunia 2021 pada Sabtu.

Hari Renjer Sedunia disambut 31 Julai bagi menghargai dan mengiktiraf peranan serta tanggungjawab dimainkan oleh renjer selaku pejuang belantara bagi memastikan sumber semula jadi dan biodiversiti negara dilindungi.

Mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada renjer di seluruh negara, Shamsul Anuar berkata, kerajaan berterima kasih kepada anggota terbabit yang sentiasa melaksanakan tugas walaupun ketika pandemik Covid-19.

“Tugasan untuk melindungi hidupan liar, habitat semula jadi, menangani konflik manusia dan hidupan liar menguruskan kawasan perlindungan serta penguatkuasaan tetap dijalankan dengan penuh dedikasi," kata beliau. - Bernama

Artikel Berkaitan: