Lima lelaki diberkas kerana merusuh di restoran

No Image Caption
A
A
A

SIBU - Polis memberkas lima lelaki bagi membantu siasatan kejadian merusuh di sebuah restoran di Jalan Pahlawan di sini malam tadi yang mengakibatkan seorang pekerja cedera.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, suspek yang berusia antara 18 dan 31 tahun telah direman selama dua hari mulai hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 427 (khianat), Seksyen 147 (merusuh) dan Seksyen 323 (mendatangkan kecederaan) kesemuanya di bawah Kanun Keseksaan.

Katanya, kelima-lima suspek yang diberkas sejurus selepas kejadian dilaporkan pada lebih kurang 9.30 malam itu turut dirujuk kepada Jabatan Nakortik untuk menjalani saringan air kencing.

Menurutnya, pemilik restoran berusia 56 tahun dimaklumkan pekerjanya bahawa premis tersebut telah diganggu oleh orang tidak dikenali selepas berlakunya salah faham di antara seorang pelayan dan suspek berhubung pesanan makanan.

Beliau berkata, tiga suspek dipercayai di bawah pengaruh alkohol bertindak merosakkan barang-barang di dalam restoran berkenaan dan seorang pekerja lelaki cedera di muka akibat dipukul dengan penyapu.

“Pekerja yang cedera dihantar ke hospital untuk rawatan. Kejadian itu yang dirakam kamera litar tertutup menunjukkan suspek merosakkan barangan restoran,” katanya.

Sebuah kenderaan pacuan empat roda telah dirampas dan sebatang penyapu diambil sebagai barang kes,” katanya.

Video kejadian tersebut ditularkan di media sosial sejak semalam. - Bernama

Artikel Berkaitan: