X

Kindly register in order to view this article
!

'Mereka bukan tokoh, tetapi penghasut'

Hamzah (tiga dari kiri) mengadakan lawatan ke empat lokaliti di DUN Selama yang dikenakan PKPD bagi menyampaikan sumbangan kotak makanan melalui Op Bantu.
A
A

LARUT - Polis akan menjalankan siasatan susulan berhubung penglibatan kumpulan termasuk pemimpin politik yang terlibat dalam himpunan dan menyokong gerakan protes terhadap kerajaan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, pihaknya mengesan penglibatan kumpulan itu kebanyakannya didalangi individu sama yang boleh menimbulkan suasana pecah belah dan merosakkan negara.

"Saya tidak memanggil mereka ini sebagai tokoh (selamatkan negara), saya hanya memanggil mereka sebagai penghasut. Oleh itu, kita akan buat susulan selepas ini (untuk tindakan) dan akan umumkan dari masa ke masa.

"Kadang-kadang saya tengok mereka ini orang yang sama, marah apabila kita membenarkan kilang (beroperasi) sebagai contoh, tetapi orang yang sama juga yang saya perhatikan mengarahkan supaya semua orang turun untuk berkumpul.

"Sebab itu, saya tahu dan faham bahawa kumpulan-kumpulan ini hanyalah untuk memecahbelahkan keadaan dan menimbulkan perasaan tidak senang dalam kalangan rakyat," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Selama di sini pada Sabtu.

Beliau berkata, mereka yang berhimpun dan mengadakan protes itu sepatutnya tahu bahawa tindakan berkumpul secara ramai tanpa pematuhan prosedur operasi standard (SOP) boleh menyumbang kepada peningkatan kes positif Covid-19, apatah lagi negara kini berdepan varian baharu Delta yang boleh merebak dengan cepat.

"Berkumpul untuk membuat demonstrasi adalah satu kesalahan, inikan pula dalam waktu yang sepatutnya kita sama-sama patuhi SOP.

"Cuba kita lihat daripada mereka yang turun nanti, berapa ramai yang kena Covid-19, barulah mereka sedar bahawa sebenarnya varian Delta ini merebak dengan secepatnya," katanya.

Hamzah sebelum itu menyempurnakan penyerahan cek Tabung Amanah Perwira dan Pertahanan Negara (TAPPN) kepada Ida Marsita Harun, 45, balu Allahyarham Sarjan Mohamad Nasrul Othman, 47, betugas di Penjara Alor Setar yang meninggal dunia 28 September tahun lalu akibat Covid-19.

Ahli Parlimen Larut itu juga sempat mengadakan lawatan ke empat lokaliti di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selama yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi menyampaikan sumbangan kotak makanan melalui Op Bantu.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz; Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani; Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid dan Ketua Pengarah Jabatan Penjara, Datuk Nordin Muhamad.

Pada Sabtu, media melaporkan ratusan penunjuk perasaan berpakaian hitam berhimpun di Dataran Merdeka di Kuala Lumpur untuk menuntut peletakan jawatan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sebilangan besar membawa sepanduk dan papan nama yang bertuliskan 'Kerajaan Gagal', manakala yang lain mengibarkan bendera hitam antara lain menuduh kerajaan salah urus wabak Covid-19.

ARTIKEL BERKAITAN: Tindakan tegas terhadap penganjur perhimpunan 'Keluar dan #Lawan'

Himpunan baju hitam penuhi sekitar Dataran Merdeka


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!