Lelaki maut tersepit dalam nahas 3 kenderaan

Anggota bomba mengeluarkan seorang lelaki yang tersepit selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 1 Jalan Mersing-Endau berhampiran pekan Endau, Mersing, pada Sabtu.
Anggota bomba mengeluarkan seorang lelaki yang tersepit selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 1 Jalan Mersing-Endau berhampiran pekan Endau, Mersing, pada Sabtu.
A
A
A

MERSING - Seorang lelaki maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kilometer 1 Jalan Mersing-Endau berhampiran pekan Endau di sini pada Sabtu.

Dalam kejadian pada jam 7.55 pagi, mangsa, Ali K Moideen Kutty, 59, cedera parah dan tersepit sebelum maut di lokasi kejadian, manakala isterinya A'mariah Harun, 53, cedera.

Ketua Polis Daerah Mersing, Superintendan Cyril Edrward Nuing berkata, kemalangan dipercayai berpunca dari sebuah lori jenis Mitsubitshi Fuso dipandu lelaki berusia 32 tahun bersama-sama seorang kelindan dari arah Batu Pahat menuju ke arah Tanjung Gemok, Rompin, Pahang.

"Ketika melalui tempat kejadian di jalan selekoh, pemandu lori dipercayai hilang kawalan lalu melanggar batu tengah pembahagi jalan dan memasuki ke laluan bertentangan.

"Ekoran itu, lori berkenaan berlanggar dengan sebuah pacuan empat roda jenis Ford Ranger dipandu mangsa dan isterinya yang dalam perjalanan dari arah rumah di Endau menuju ke arah kebun di Penyabong di sini," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Menurut beliau, lori tersebut kemudian melanggar sebuah kereta yang diletakkan di bahu jalan berhampiran gerai makan.

Beliau berkata, akibat perlanggaran tersebut, pemandu pacuan empat roda tersepit dan maut, manakala isterinya cedera dan dibawa ke Klinik Kesihatan Endau.

"Sementara pemandu dan kelindan lori pula mengalami sakit ringan. Susulan itu, pemandu lori telah ditahan bagi membantu siasatan lanjut.

Artikel Berkaitan:

"Mayat mangsa maut telah dirujuk ke Hospital Mersing bagi tujuan bedah siasat setelah keputusan swab test Covid-19 diperoleh," katanya.

Katanya, kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara cuai dan menyebabkan kematian.

Beliau meminta saksi kejadian tampil memberikan keterangan bagi membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Mohd Fairuz Bin Abd Malek di talian 07-7992222.

Dalam pada itu, seramai enam anggota dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Endau diketuai Komander Operasi, Pegawai Bomba Amir Hamzah Aris turut dikejarkan ke lokasi kejadian.

Amir berkata, tindakan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit menggunakan peralatan khas Road Traffic Accident (RTA) dan mengambil masa 18 minit bagi mengeluarkan mangsa.