Suasana di kediaman Muhyiddin tenang pada Jumaat

Masih tiada pergerakan keluar masuk mana-mana pemimpin politik mahupun kerajaan di kediaman Muhyiddin di Bukit Damansara setakat jam 2 petang pada Jumaat.
Masih tiada pergerakan keluar masuk mana-mana pemimpin politik mahupun kerajaan di kediaman Muhyiddin di Bukit Damansara setakat jam 2 petang pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suasana di hadapan kawasan kediaman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara di sini tenang sejak pagi Jumaat tanpa sebarang pergerakan keluar masuk mana-mana pemimpin politik mahupun kerajaan.

Setakat jam 2 petang tadi, masih tiada sebarang perkembangan terbaharu dengan Muhyiddin difahamkan bekerja dari rumah pada Jumaat.

Tinjauan Sinar Harian mendapati media sudah mula hadir sejak jam 7 pagi untuk membuat liputan mengenai sebarang kemungkinan yang boleh berlaku susulan perkembangan terkini politik negara ketika ini.

Kediaman Muhyiddin itu mula menjadi tumpuan media pada Khamis sejurus selepas pihak Istana Negara mengeluarkan kenyataan berhubung isu pembatalan Ordinan Darurat yang diumumkan kerajaan di Parlimen pada Isnin.

Kenderaan rasmi membawa beberapa menteri kabinet termasuk Peguam Negara antara yang dilihat memasuki kawasan kediaman Muhyiddin pada tengah hari Khamis.

Menerusi kenyataan daripada Istana Negara itu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan rasa dukacita dengan kenyataan kerajaan berhubung pembatalan Ordinan Darurat di Parlimen memandangkan ia belum mendapat perkenan Seri Paduka Baginda.

ARTIKEL BERKAITAN: Kediaman PM jadi tumpuan media

Seri Paduka Baginda menegaskan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Parlimen pada 26 Julai lalu tidak tepat dan telah mengelirukan Ahli Dewan Rakyat.

Yang di-Pertuan Agong turut bertitah bahawa permohonan pembatalan semua Ordinan Darurat berkuat kuasa pada 21 Julai 2021 yang telah dilakukan secara tergesa-gesa tanpa pembentangan di Parlimen dan kenyataan yang bercanggah serta mengelirukan di Parlimen itu bukan sahaja gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang terkandung dalam Rukun Negara malah telah membelakangi fungsi serta kuasa Seri Paduka Baginda selaku Ketua Utama Negara seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.

Susulan daripada itu, Pejabat Perdana Menteri pada petang Khamis menjelaskan bahawa semua tindakan yang diambil kerajaan berhubung pembatalan Ordinan Darurat adalah teratur dan selaras dengan peruntukan undang-undang serta Perlembagaan Persekutuan.

Artikel Berkaitan:

Beberapa pimpinan pembangkang antaranya Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad meminta Muhyiddin supaya meletakkan jawatan ekoran daripada perkembangan tersebut.

Turut mendesak peletakkan jawatan Ahli Parlimen Pagoh itu ialah UMNO yang merupakan parti terbesar dalam kerajaan Perikatan Nasional.