X

Kindly register in order to view this article
!

Suri rumah rugi RM30,050 ditipu penjual kucing

Harga seekor kucing ditawarkan cuma RM500 tetapi seorang suri rumah kerugian hingga RM30,050 akibat ditipu oleh penjual haiwan jenis Munchkin itu, pada Isnin. Gambar hiasan 123rf
A
A

SEREMBAN - Harga seekor kucing ditawarkan cuma RM500 tetapi seorang suri rumah kerugian hingga RM30,050 akibat ditipu oleh penjual haiwan jenis Munchkin itu, pada Isnin.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan, Superintendan Aibee Abd Ghani berkata, mangsa yang berusia 56 tahun berminat untuk membeli kucing berkenaan selepas ia diiklankan di Facebook.

"Setelah berbincang melalui aplikasi messenger di Facebook, mangsa setuju membeli kucing itu dengan harga RM500 dan memberikan butiran peribadinya kepada pihak penjual untuk tujuan kiriman secara pos ke rumahnya.

"Bayaran tersebut adalah 50 peratus daripada harga jualan dan bakinya dibayar selepas menerima kucing. Pada hari sama, mangsa membuat bayaran pendahuluan sebanyak RM150 melalui pindahan dalam talian dan bukti bayaran diberikan kepada pihak tersebut," katanya dalam kenyataan, pada Khamis.

Beliau berkata, sepanjang urusan pembelian kucing itu, mangsa berurusan dengan beberapa nombor telefon yang antaranya meminta wang sebagai penjamin; insurans pembelian kucing; lesen pemilikan daripada

Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan upah kepada penghantar kucing.

"Mangsa dimaklumkan bahawa kesemua wang jaminan itu akan dipulangkan semula kepadanya jika proses selesai. Justeru, mangsa memasukkan kesemua wang tersebut ke dalam 10 akaun berbeza.

"Mangsa kemudian membuat laporan polis pada Rabu setelah menyedari ditipu selepas kesemua nombor telefon tersebut menyekat nombor telefonnya sehingga dia tidak dapat menghubungi mereka," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!