X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 25 Mei 2022

Enam anggota bomba BBP Jalan Perak positif Covid-19

BBP Jalan Perak masih beroperasi seperti biasa walaupun enam anggotanya disahkan positif Covid-19. Gambar ihsan FB BBP Jalan Perak Gambar kecil: Saadon
A
A

BATU KAWAN - Seramai 28 pegawai serta anggota di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak di Georgetown diarah menjalani kuarantin selepas enam anggotanya disahkan positif Covid-19.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Saadon Mokhtar berkata, bagaimanapun balai tersebut masih beroperasi seperti biasa dengan pengurangan tenaga kerja.

Menurutnya, pengoperasian BBP Jalan Perak yang dikategorikan sebagai balai super A itu akan dibantu oleh tiga BBP lain iaitu Bagan Jermal, Lebuh Pantai dan Bayan Baru.

"Tiga BBP ini akan membantu operasi di kawasan Jalan Perak berikutan kekurangan pegawai dan anggota susulan kes jangkitan Covid-19.

"Jumlah jentera yang keluar untuk operasi dikurangkan iaitu hanya satu trip melibatkan satu jentera 'water tender', satu 'water tanker' dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) setiap hari berbanding lima trip sebelum ini," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat JBPM Pulau Pinang di sini pada Khamis.

Menurutnya, pengurangan tersebut dilaksanakan susulan 50 peratus pegawai dan anggota bomba di BBP Jalan Perak dikenakan kuarantin.

"Semua 28 individu tersebut sudah menjalani ujian calitan (swab test) dan mereka ketika ini sedang menjalani kuarantin di balai bomba tersebut bagi membendung penularan wabak Covid-19.

"Usaha ini bagi mengelakkan berlaku jangkitan kepada ahli keluarga sekiranya mereka menjalani kuarantin di rumah," katanya.

Tambah Saadon, terdapat 66 pegawai dan anggota ditugaskan di BBP Jalan Perak dan 28 daripadanya sedang menjalani kuarantin sehingga 5 Ogos ini.

"Enam lagi anggota sedang menunggu untuk dipanggil menjalani ujian saringan. Sementara itu, enam anggota yang positif kini stabil," kata beliau.

Dalam perkembangan sama, Saadon berkata, seramai 18 pegawai JBPM Pulau Pinang disahkan positif sepanjang tempoh pandemik sejak tahun lalu.

"Jumlah itu termasuk enam anggota dan pegawai dari BBP Jalan Perak. Kebanyakannya dijangkiti bukan ketika operasi pihak bomba tetapi dipercayai dijangkiti dari luar termasuk daripada ahli keluarga mereka yang bekerja dalam pelbagai sektor," katanya.

Katanya, seramai 850 pegawai dan anggota JBPM Pulau Pinang telah selesai menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!