Parlimen medan terbaik kerajaan bahas pelan tangani Covid-19

Ahmad Fadhli Shaari
Ahmad Fadhli Shaari
A
A
A

SHAH ALAM - Persidangan khas Parlimen yang diadakan pada kali ini merupakan medan terbaik untuk kerajaan membentang dan membahaskan pelan yang akan digunakan bagi membantu rakyat keluar daripada krisis pandemik Covid-19.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, ini kerana meskipun kerajaan ketika ini telah membelanjakan jumlah kewangan terbesar dalam sejarah negara untuk menangani krisis Covid-19, tetapi ia dilihat masih jauh daripada mencukupi dalam memenuhi keperluan sebenar rakyat Malaysia.

“Setiap rakyat, setiap penerima bakul makanan yang paling maksimum mereka dapat RM100. Jadi RM100 ini berapa hari sahaja mereka boleh gunakan untuk pastikan dapur mereka berasap.

“Jadi kerajaan memerlukan satu pelan yang lain. Rakyat mahu keluar daripada kemelut ini. Rakyat tidak mahu bergantung kepada bantuan semata-mata, mereka mahu keluar bekerja untuk mencari rezeki dan sebagainya.

“Jadi apa pelan kerajaan. Jadi, di sinilah peluang terbaik untuk kerajaan bentang dan dibahaskan oleh ahli Parlimen,” katanya dalam satu program temu bual di Astro Awani pada Rabu.

Mengulas lanjut, Ahmad Fadhli mengakui walaupun perbincangan di Parlimen dilihat semakin matang, namun beliau berpendapat ia masih belum cukup sempurna untuk mengeluarkan 'input' yang terbaik dalam menyelesaikan masalah rakyat.

Ahmad Fadhli berkata, usaha kerajaan melibatkan pelbagai pihak termasuk pembangkang melalui pelbagai jawatankuasa ketika ini juga dilihat masih belum mencukupi dalam merealisasikan kerjasama rentas parti yang diharapkan oleh rakyat.

Sehubungan itu, beliau yang juga Timbalan Ketua Pemuda Pas berkata, kerajaan perlu memperbaiki kerjasama yang dijalankan bersama kumpulan pembangkang sama ada di peringkat Persekutuan mahupun negeri.

Artikel Berkaitan:

“Sebab kita kena ingat ahli Parlimen yang ada di dalam Dewan Rakyat ini separuh daripadanya adalah pembangkang dan separuhnya lagi ialah kerajaan.

“Jadi kalau kita mengetepikan terus pembangkang, kita seolah-olah mengetepikan 50 peratus rakyat Malaysia yang mana ia merupakan satu benda yang tidak sihat,” ujarnya.

Beliau berkata, untuk jangka masa pendek, kerajaan perlu duduk semeja bersama pimpinan pembangkang bagi membincangkan cara terbaik yang boleh dilakukan untuk membantu rakyat dan negara sekurang-kurangnya sehingga masyarakat berjaya mencapai imuniti kelompok.