X

Kindly register in order to view this article
!

Tumpu industri ruminan negara

Proses memerah susu lembu kini menggunakan teknologi moden.
A
A

SHAH ALAM - Pelan Strategik Pembangunan Industri Pedaging Negara (BIF PLAN 2021-2025) dan Pelan Strategik Pembangunan Industri Tenusu Negara 2021-2025 (DAIRY PLAN 2021-2025) bakal menumpukan beberapa strategi khusus dalam usaha membangunkan industri ruminan negara selaras Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) untuk tempoh lima tahun.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, pelan berkenaan adalah manifestasi kerajaan untuk membangunkan industri ruminan melalui pendekatan sistem penternakan yang lebih efisien, selain meningkatkan kapasiti dan kos pengeluaran.

“Melalui pelan itu juga sasaran pengeluaran daging dan susu segar tempatan dapat ditingkatkan dengan penambahan pengeluaran sebanyak 111,000 tan metrik daging dan 20 juta liter susu segar.

“Ia dapat dicapai dalam tempoh lima tahun RMK12 dengan sasaran 50 peratus tahap sara diri (SSL) untuk pengeluaran daging dan 100 peratus SSL untuk susu segar menjelang tahun 2025,” katanya.

RONALD
RONALD

Beliau berkata demikian pada majlis Simposium Ruminan 2021 serta BIF PLAN dan DAIRY PLAN 2021-2025 secara maya anjuran Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) pada Selasa.Program tersebut merupakan anjuran DVS bersama penternak dan pemegang taruh untuk berkongsi maklumat serta menjelaskan pelbagai isu, cabaran dan peluang dalam pembangunan industri ruminan negara.

Ronald berkata, pembangunan lembah tenusu akan diteruskan di beberapa kawasan baharu termasuk Lembah Tenusu Selatan di Melaka dan Johor, Lembah Tenusu Borneo di Sabah serta Sarawak dan Lembah Tenusu Pantai Timur iaitu Kelantan dan Terengganu.

Jelasnya, program transformasi usahawan berskala besar dan penternak kecil melalui kaedah bayaran balik serta geran padanan juga dilaksanakan bagi meningkatkan bilangan populasi induk lembu susu tempatan.

“Bagi industri pedaging, ia fokus kepada program seperti Skim Rezeki Ternak bagi penternak kecil, peningkatan ruminan untuk ternakan integrasi, malah membangunkan 67 ladang satelit di kawasan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM).

“Projek Pertanian Moden (PPM) juga dijangka menjadi pemangkin kepada pengusaha penternakan ruminan meliputi skala kecil, semi komersial dan komersial dalam mencapai sasaran pengeluaran 111,000 tan metrik,” kata Ronald.

Ternakan lembu sado semakin berkembang di Malaysia.
Ternakan lembu sado semakin berkembang di Malaysia.

Beliau berkata, pihaknya akan memberikan insentif bagi pengukuhan model aktiviti pengeluaran daging di zon-zon khusus bagi projek fidlot ruminan melalui skim pengukuhan rangkaian fidlot daripada integrasi dan tenusu (Skim FIT) sebagaimana yang digariskan dalam Pelan Tindakan Dasar Sekuriti Makanan Negara (Pelan Tindakan DSMN) 2021-2025.

Menurut Ronald, bagi meningkatkan kemapanan dan pertumbuhan industri ternakan serta tahap sekuriti makanan negara untuk hasilan ruminan, Lembaga Ruminan Negara bakal ditubuhkan dan dijangka beroperasi secara berfasa bermula pada tahun 2022.

Pemegang taruh “Kesemua strategi yang dirangka kerajaan memerlukan kerjasama erat semua pihak termasuk MAFI, DVS, pemain industri dan penternak sebagai pemegang taruh,’’ katanya.

Industri ternakan ruminan merupakan industri penting berperanan sebagai sumber protein negara sekali gus salah satu industri utama agromakanan dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada tahun 2019 bernilai RM15 bilion.

Ia menyediakan sumber pendapatan yang menguntungkan semua pihak di sepanjang rantaian nilai termasuk penternak menerusi pengeluaran daging, telur, susu dan produk hasilannya.

Sementara itu, Ketua Pengarah DVS, Datuk Dr Norlizan Mohd Noor berkata, dengan senario semasa negara dan dunia dilanda Covid-19, industri ruminan negara wajar diteruskan supaya bekalan daging dan susu segar dapat menampung keperluan serta kehendak tempatan.

NORLIZAN
NORLIZAN

Katanya, empat objektif utama penganjuran Simposium Ruminan antaranya berkongsi matlamat, hala tuju dasar dan strategi pembangunan ruminan dalam RMK12 bersama penternak serta pemegang taruh.

“Menjelaskan isu, cabaran dan peluang dalam pembangunan industri ruminan serta tindakan kementerian dan jabatan untuk menanganinya.

“Kemudian perkongsian program oleh jabatan dalam pembangunan industri ruminan sepanjang tahun 2020 hingga 2021 di samping menjelaskan penyakit ternakan yang boleh menjejaskan ekonomi serta langkah kawalannya,” ujarnya.

Ronald (kiri) dan Norlizan (kanan) melancarkan Webinar Simposium Ruminan yang diadakan secara maya pada Selasa.
Ronald (kiri) dan Norlizan (kanan) melancarkan Webinar Simposium Ruminan yang diadakan secara maya pada Selasa.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!