Semoga Malaysia negaraku terpelihara

No Image Caption
A
A
A

SEJAK Isnin lalu, seperti rakyat Malaysia yang lain, saya juga turut terpanggil untuk mengikuti persidangan khas Parlimen secara dekat.

Saya berharap daripada apa yang ditaklimat dan dibincangkan, saya akan dapat memahami dengan lebih baik semua usaha yang telah diambil kerajaan untuk menangani masalah yang sehingga kini telah mengakibatkan lebih sejuta rakyat dijangkiti Covid-19 dan daripada jumlah itu, ia telah meragut lebih 8,000 nyawa.

Tiga bulan lalu ketika saya menulis sebuah laporan mengenai impak Covid-19 ke atas masyarakat Malaysia untuk pihak UNDP, statistik kematian pada 30 April lalu hanya berada lebih 1,500 kes. Hari ini, hanya lebih kurang 90 hari daripada 30 April, ia telah berlipat lima kali ganda daripada jumlah di penghujung April. Tidakkah indikator itu merisaukan kita dengan apa yang sedang berlaku di Malaysia dalam konteks masalah Covid-19?

Malangnya apa yang dipersembahkan di Parlimen pada Isnin dan Selasa, memberi gambaran sebaliknya. Kekecohan dan pertikaman lidah antara kedua-dua pihak seolah-olah memperakukan kepada gambaran sebenar kekusutan masalah yang mendepani kita.

Apakah harapan kita sebagai rakyat Malaysia untuk melihat Malaysia, negaraku ini benar-benar keluar daripada cengkaman menggila Covid-19? Atau adakah ia mimpi yang tidak mungkin menjadi realiti.

Sebagai rakyat, saya pasti semua pihak mengharapkan agar negara kita bukan hanya pulih dari segi kesihatan dan ekonomi tetapi juga dapat pulih sepenuhnya daripada masalah politik yang berpanjangan.

Pada September tahun lalu, saya memulakan satu penyelidikan untuk mengkaji asas-asas struktur demokrasi dalam negara, bertujuan mencari jawapan mengenai cara terbaik mengeluarkan Malaysia daripada kemelut politik dan kembali menjadi sebuah negara hebat yang akan terus dihormati kawan dan lawan.

Kerangka penyelidikan itu menggunakan beberapa persoalan kajian penting untuk dijawab oleh informan kajian yang tergolong daripada pemimpin parti politik, masyarakat, sektor swasta dan sektor awam. Kajian juga telah mengadakan pelbagai program libat urus untuk mendapat pandangan masyarakat.

Artikel Berkaitan:

Antara persoalan utama adalah sama ada Malaysia boleh dikategorikan sebagai sebuah negara gagal atau failed state? Adakah sistem demokrasi dalam negara kita difahami rakyat terbanyak? Apakah tahap literasi politik dalam kalangan rakyat Malaysia? Apakah dasar-dasar negara telah membantu menyatupadukan rakyat berbilang kaum dalam negara? Adakah rakyat terbanyak faham asas-asas yang terkandung dalam perlembagaan negara kita?

Hasil kajian itu secara spesifik akan saya laporkan dalam kolum saya yang akan datang. Apa yang penting untuk kita sama-sama hayati adalah hasrat semua rakyat Malaysia yang telah saya temui, belum ada yang mahu melihat Malaysia gagal sebagai sebuah negara.

Kalau ada pun mungkin sebilangan kecil yang sudah hilang harapan. Namun, apa yang dapat kita lihat di Parlimen, 28 Julai, ia sedikit sebanyak memberi harapan dan semangat baharu kepada kita. Sehingga jam 12.15 tengah hari, daripada taklimat YB Menteri, respons yang diberikan oleh YB Kulim Bandar Baru mewakili Ketua Pembangkang dan celahan-celahan oleh wakil rakyat menunjukkan kualiti perbahasan dengan fakta dan disiplin tinggi kedua-dua belah pihak. Ia termasuk juga pengendalian mesyuarat oleh Yang Dipertua Dewan yang bersifat adil dan saksama.

Beginilah caranya yang rakyat ingin lihat agar ahli-ahli Yang Berhormat terus dengan prestasi seperti itu, tidak kira di sebelah mana mereka berada. Yang penting agar mereka dapat berbahas dan berbincang dengan fakta serta menggunakan bahasa dan menunjukkan adab sopan dalam mencari jalan penyelesaian terbaik bagi menyelamatkan rakyat daripada semua masalah yang sedang mereka hadapi. Ketika ini keutamaan rakyat menjadi perkara paling utama yang harus diberikan kedua-dua pihak.

Semoga Malaysia, negaraku ini akan terus dipelihara Tuhan dan diselamatkan daripada segala mala petaka.

* Datuk Dr Anis Yusal Yusoff adalah Felo Utama di KITA, UKM. Beliau pernah menjadi Presiden Institut Integriti Malaysia dan Timbalan Ketua Pengarah GIACC, JPM