221 hospital seluruh negara rawat pesakit Covid-19

Dr Adham menjelaskan isu tindakan menangani pandemik Covid-19 pada Mesyuarat Khas Penggal Ketiga, Majlis Parlimen Ke-14 di Parlimen pada Selasa. - Foto Bernama
Dr Adham menjelaskan isu tindakan menangani pandemik Covid-19 pada Mesyuarat Khas Penggal Ketiga, Majlis Parlimen Ke-14 di Parlimen pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sidang Khas Dewan Rakyat pada Selasa memaklumkan sehingga kini terdapat 221 buah hospital di seluruh negara yang dikhususkan bagi rawatan pesakit Covid-19.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, ia melibatkan 104 daripada 146 hospital Kementerian Kesihatan (KKM), enam hospital universiti, 112 hospital swasta dan sebuah hospital Angkatan Tentera.

Menurutnya, sebanyak 11 hospital KKM adalah berstatus 'full Covid-19', dan selebihnya berstatus hibrid yang turut merawat pesakit bukan Covid-19.

"Sehingga kini, jumlah katil bukan unit rawatan rapi (ICU) bagi kesemua 221 buah hospital di seluruh negara adalah 15,090 katil (awam) dan 1,288 (swasta) iaitu peningkatan sebanyak 373 berbanding 4,395 katil pada 30 Mac 2020.

"Jumlah katil ICU adalah sebanyak 1,405 (awam) dan 128 (swasta) iaitu peningkatan sebanyak 485 berbanding 316 katil ICU pada 30 Mac 2020.

"Bagi meningkatkan kapasiti katil merawat Covid-19 di hospital awam seperti yang dinyatakan, pengubahsuaian ruangan tertentu (repurpose area) di dalam dan di luar bangunan hospital untuk dijadikan wad dan ICU sementara telah dilaksanakan termasuk pembinaan Hospital Medan, ICU Medan, Modular ICU dan penggunaan ICU di hospital swasta," katanya pada Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 pada Selasa.

Tambah beliau, setakat ini, tiga Modular ICU telah disediakan dan beroperasi di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Hospital Kepala Batas dan Hospital Melaka.

Jelas beliau, bagi menampung peningkatan kes Covid-19 khususnya kategori 4 dan 5, KKM telah menambah lima lagi Modular ICU di beberapa hospital yang mempunyai kes yang tinggi iaitu Hospital Tengku Ampuan Rahimah (Tambahan), Hospital Selayang, Hospital Tuanku Jaafar, Hospital Tawau dan Hospital Sibu.

Artikel Berkaitan:

"Selain penyediaan fasiliti, peralatan-peralatan perubatan seperti katil pesakit, katil ICU, ventilator (2,468 unit ventilator dengan kadar penggunaan 60 peratus) patient monitor dan sebagainya turut dipertingkatkan bagi memperkukuhkan keupayaan serta sebagai kesiapsiagaan dalam menangani pandemik Covid-19," katanya.