Penduduk PKPD Taman Samudera Timur terima barang basah

Pek barang basah yang diedarkan kepada penduduk PKPD di Flat Taman Samudera Timur, Ahad lalu.
Pek barang basah yang diedarkan kepada penduduk PKPD di Flat Taman Samudera Timur, Ahad lalu.
A
A
A

GOMBAK - Kerajaan negeri Selangor melalui Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) menyampaikan bantuan barang basah bernilai RM15,000 kepada 525 penduduk Flat Taman Samudera Timur yang menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak 18 Julai lalu.

Ahli Majlis Perbandaran Selayang (MPS) Zon 5, Ruhanah Masruki berkata, barang basah berupa ikan, ayam dan sayur itu diedarkan kepada penduduk di enam blok berkenaan pada Ahad.

Menurut beliau, seramai 25 ahli jawatankuasa bersama petugas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) terlibat dalam proses agihan keperluan tersebut.

"Bantuan itu lanjutan daripada edaran keperluan asas yang telah diedarkan kepada penduduk sebelum ini. Ia dapat menampung stok makanan basah yang berkurangan selepas seminggu jalani PKPD.

"Insya-ALLAH bantuan seterusnya akan disalurkan mengikut keperluan penduduk. Setakat ini, proses agihan berjalan dengan lancar," katanya.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini memaklumkan Taman Samudera, Mukim Batu, Gombak antara 24 lokaliti dikenakan PKPD berkuatkuasa 18 hingga 31 Julai.

Dianggarkan 3,000 penduduk di Flat Taman Samudera Timur itu menjalani PKPD susulan peningkatan kes Covid-19 di kawasan tersebut.

Artikel Berkaitan: