X

Kindly register in order to view this article
!

KDA FC akur tunda aksi berdepan Penang FC

Aksi persahabaran Kedah dan PJ City FC baru-baru ini. - Foto KDA FC
A
A

KELAB Kedah Darul Aman (KDA FC) akur dengan keputusan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) MFL menunda aksi Liga Super berdepan Penang FC di Stadium Darul Aman pada Sabtu, berikutan dua pemain KDAFC didapati positif Covid-19.

Dalam satu kenyataan rasmi, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KDA FC, Khamal Idris Ali turut memohon maaf terutamanya kepada Penang FC, susulan penangguhan berkenaan.

Menurutnya, keputusan menunda perlawanan berkenaan dibuat setelah mengadakan perbincangan bersama pihak MFL selain mendapat panduan dan nasihat daripada pihak Jabatan Kesihatan Negeri Kedah.

“Sebagai tuan rumah perlawanan ini, KDA FC memohon maaf atas segala kesulitan yang berlaku terutamanya kepada pasukan Penang FC yang difahamkan telah tiba awal di Alor Setar pada Jumaat petang.

“Penangguhan perlawanan ini selaras dengan keputusan yang dikeluarkan oleh Liga MFL bagi memastikan keutamaan diberikan kepada keselamatan semua pihak yang terlibat dalam penganjuran Liga Super,” katanya menerusi kenyataan rasmi berkenaan.

Untuk rekod, KDA FC telah menjalani latihan kem berpusat sejak dua bulan lalu secara latihan kem berpusat (camp base training) dan menurut gelembung sukan sebagai persiapan ke kejohanan Piala AFC, namun kedua-dua pemain berkenaan disahkan positif Covid-19 setelah menjalani ujian calitan (swab test) PCR terakhir selepas cuti Hari Raya Aidiladha lalu.

Menurut Khamal Idris, proses ujian calitan ini adalah proses wajib kepada semua pemain KDA FC menurut SOP dikeluarkan MFL setiap kali pemain-pemain dan pegawai pasukan melaporkan diri dalam kem latihan berpusat menurut gelembung sukan.

Sementara itu menurut Khamal Idris, kes berkenaan adalah kes pertama melibatkan pemain KDA FC setakat ini.

Bagaimanapun katanya, ia tidak melibatkan pergaulan individu yang dikesan positif bersama rakan sepasukan yang lain berikutan langkah KDA FC yang sentiasa komited dan mematuhi SOP ketat bagi menjaga Gelembung Sukan demi kelancaran saingan Liga-M 2021.

“KDA FC telah mematuhi semua prosedur operasi standard SOP yang dikeluarkan oleh MFL sepanjang menjalani latihan secara camp base training berkenaan dan sejak dua bulan lalu, tetapi malangnya ujian calitan PCR terakhir selepas cuti Hari Raya Aidiladha lalu melibatkan dua pemain didapati positif.

“Oleh itu, sebagai langkah pencegahan, penundaan perlawanan ini adalah tepat bagi mengelakkan penyebaran Covid-19 selain melaksanakan kuarantin untuk memastikan pemain dan pegawai sentiasa terlindung,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!