X

Kindly register in order to view this article
!

‘Saya sambung legasi Chong Wei’

Azizulhasni (kanan) dan Shah Firdaus sudah bersedia menggalas cabaran skuad lumba basikal trek negara pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020.
A
A

JAGUH lumba basikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang sudah bersiap sedia untuk menyambung pemburuan pingat emas Sukan Olimpik yang sebelum ini disandarkan kepada legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei.

Azizuhasni berkata, dia bersedia untuk memikul harapan negara untuk meraih pingat emas sulung Olimpik selepas Chong Wei tidak lagi membarisi kontinjen Malaysia pada temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020.

“I will revenge for you, Datuk Lee Chong Wei (saya akan membalas dendam untuk anda, Datuk Lee Chong Wei). I will continue your legacy (saya akan menyambung legasi anda),” katanya dalam satu rancangan temu bual Instagram Live Astro Arena baru-baru ini.

Sambil mengakui ia satu bebanan yang amat berat untuk menggalas tanggungjawab meraih pingat emas pertama negara, Azizulhasni tetap kekal positif untuk memastikan misi tersebut dapat dicapai.

“Beban itu memang ada dan kita memang tak boleh lari. Apabila kita menjadi prospek pingat utama dan orang beri tanggungjawab kita tidak boleh lari. Malah, saya ingat lagi pada hujung tahun 2019, orang sudah mula lontarkan harapan apabila Datuk Chong Wei dah bersara, saya jadi prospek utama.

“Saya memang dah bersedia untuk maju ke hadapan dan sambut cabaran tersebut untuk menghadiahkan pingat kepada negara. Mungkin bagi sesetengah orang nampak (saya) macam over confident tapi kalau anda mendalami tentang sains sukan, you have to be in that situation.

“Saya selalu umpamakan macam pergi berperang, takkan masuk perang tu kita cakap tak tahulah boleh menang atau kalah. Tak boleh macam itu sebab sebelum masuk perang, kita dah tak yakin. Kita nak pergi perang kita kena yakin untuk menang, yakin dengan kebolehan kita.

“Apa jua berlaku sekiranya keputusan tidak menyebelahi kita adalah perkara kedua. Apa yang penting kita kena ada keyakinan dan mentaliti yang betul,” ujarnya yang meraih gangsa acara keirin pada Olimpik Rio 2016.Saingan bagi acara lumba basikal trek akan bermula 2 hingga 8 Ogos ini di Veledrom Izu, Tokyo dengan Azizulhasni dan seorang lagi wakil negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom akan beraksi dalam acara keirin dan pecut.

Pada temasya Olimpik kali ini, Azizulhasni dan Shah Firdaus bakal mendapat kuasa tambahan apabila dibekalkan 'senjata baharu' - basikal versi model WX-R Vorteq yang dianggarkan bernilai RM300,000 setiap satu unit.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!