Sultan Nazrin solat Jumaat, Hajat di Masjid al-Hidayah

Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Shah berkenan bersalaman bersama orang ramai sebaik tiba di Masjid Al-Hidayat, Sentul bagi menunaikan solat Jumaat hari ini. - Foto Bernama
Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Shah berkenan bersalaman bersama orang ramai sebaik tiba di Masjid Al-Hidayat, Sentul bagi menunaikan solat Jumaat hari ini. - Foto Bernama
A
A
A
KUALA LUMPUR - Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Shah berkenan berangkat menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Hidayah, Sentul, di sini hari ini.

Selepas solat Jumaat, Sultan Nazrin turut bersolat Hajat bersama jemaah yang lain bagi memohon kesejahteraan anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim yang sedang dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) kerana cedera parah selepas terbabit dalam insiden rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Putra Heights Selasa lalu.

Seri Paduka menziarahi Muhammad Adib, 24, di IJN pagi tadi yang keadaanya masih kritikal namun stabil.

Turut bersolat bersama Sultan Nazrin ialah Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) Mohd Ajib Ismail, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Mohamad Nordin Ibrahim dan 2,000 jemaah yang lain.

Solat diimamkan oleh Muhamad Jalani Ahmad, yang merupakan Imam Masjid Amru Ibn Al-As Bandar Baru Sentul.
Artikel Berkaitan:


Muhamad Jalani, yang turut menyampaikan khutbah bertajuk 'Zakat, Bersih Harta Asnaf Terbela', berkata adalah penting bagi memastikan kutipan zakat mencapai sasaran demi memastikan kebajikan masyarakat terbela.

Selain berfungsi sebagai penyucian harta dan jiwa, zakat dengan pengagihan yang sempurna dapat meningkatkan ekonomi golongan asnaf dan dapat mengelakkan rasa iri hati sesama manusia, katanya. - Bernama