Pengusaha Tasik Kenyir diberi geran mudah bina perniagaan semula

Ketengah akan bantu pengusaha industri pelancongan di Tasik Kenyir yang terjejas teruk ketika pandemik Covid-19 dengan pemberian geran mudah. Gambar kecil: Razali
Ketengah akan bantu pengusaha industri pelancongan di Tasik Kenyir yang terjejas teruk ketika pandemik Covid-19 dengan pemberian geran mudah. Gambar kecil: Razali
A
A
A

HULU TERENGGANU – Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) akan membantu pengusaha industri pelancongan di Tasik Kenyir yang terjejas teruk ketika pandemik Covid-19 dengan pemberian geran mudah.

Pengerusi Ketengah, Senator Datuk Razali Idris berkata, selain 120 pengusaha di pusat pelancongan popular itu, bantuan sama juga akan diberikan kepada para usahawan di wilayah Ketengah yang terkesan.

Menurutnya, bantuan geran itu sebagai galakan supaya golongan itu dapat bangkit dan membina semula perniagaan masing-masing selepas mengalami kerugian besar akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kerajaan sudah beri bantuan moratorium, bakul makanan tapi untuk bina semula bisnes pun saya kira ini satu keperluan semasa.

“Ketengah sedang kaji perkara ini dan insya-ALLAH kita akan beri satu geran mudah untuk mereka mulakan kembali bisnes selepas mengalami rugi yang teruk,” katanya selepas hadir ke Program Outreach Vaksinasi Sektor Pelancongan Tasik Kenyir di Pengkalan Gawi, Tasik Kenyir di sini pada Khamis.

Hadir sama, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid dan Exco Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Negeri Terengganu, Ariffin Deraman.

Pada program itu, seramai 300 penggiat pelancongan terdiri daripada pengusaha dan krew rumah bot, bot laju, rumah rakit, rumah kedai di Tasik Kenyir dan 200 penduduk setempat menerima suntikan dos pertama vaksin Covid-19.

Menurut Razali, cadangan pemberian geran mudah merupakan susulan selepas beberapa bantuan kepada pengusaha dan pekerja rumah bot, bot laju, rumah rakit dan rumah kedai di Tasik Kenyir sebelum ini melibatkan peruntukan lebih RM270,000.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai penganjuran Tahun Melawat Kenyir 2021 yang ditangguhkan ekoran sekatan pergerakan penuh, beliau berkata, program itu akan diteruskan selepas kerajaan membenarkan sektor pelancongan beroperasi semula.

“Sebenarnya kita buat satu bulan satu program, jika hujung bulan 8, 9 dan 10 sudah boleh buka kita akan anjak dari satu kepada dua atau tiga program setiap bulan. Kalau tidak berjaya juga kita akan bawa ke tahun 2022.

“Dengan peruntukan sebanyak RM3 juta untuk Tahun Melawat Kenyir 2021, kita mahu jayakan juga supaya pengusaha Tasik Kenyir dapat tampung balik kerugian yang mereka alami sekarang,” katanya.