X

Kindly register in order to view this article
!

Lanjut PKPD: Penduduk gusar bekalan, wang tunai makin kurang

PKPD di Taman Bandar Baru dan Taman Lembah Permai di Sungai Lalang serta Kawasan Perusahaan Ringan Bakar Arang termasuk Taman Cahaya PKNK, Sungai Petani dilanjutkan sehingga 1 Ogos depan.
A
A

SUNGAI PETANI - Pengumuman kerajaan melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di sini mengundang kegusaran penduduk berikutan kesukaran mendapatkan barangan keperluan.

Abdullah Osman, 66, berkata, rata-rata penduduk di kawasan PKPD terutama di Taman Bandar Baru dan Taman Lembah Permai, Sungai Lalang menyuarakan kebimbangan akibat sudah kehabisan barangan keperluan, wang tunai serta minyak petrol.

Menurutnya, bekalan barangan mentah juga terhad dengan hanya beberapa kedai tertentu sahaja dibuka di kawasan berkenaan.

"Kemungkinan masih ada yang belum dapat bantuan, yang dapatpun mungkin sudah habis, sepatutnya PKPD tamat 18 Julai tetapi sambung pula lagi dua minggu," katanya.

Abdullah berkata, kebanyakan penduduk yang terjejas mengadu sudah kehabisan wang tunai menyebabkan kesukaran untuk membeli makanan keperluan.

"Disebabkan dalam kawasan ini tiada perkhidmatan ATM (mesin pengeluaran wang automatik) dan stesen minyak, ramai yang merungut kerana semakin kehabisan minyak petrol untuk bergerak sekurang-kurangnya menggunakan motosikal bagi menghadiri ujian saringan mahupun mendapatkan vaksin.

"Ada juga yang mengadu, mereka tidak dapat berniaga, pendapatan mereka terjejas serta berdepan kesukaran untuk bayar sewa rumah dan lain-lain," katanya.

Muhammad Sanusi. Foto: UPDA
Muhammad Sanusi. Foto: UPDA

Sementara itu, Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerajaan Kedah akan membekalkan bantuan khas wang tunai dan makanan basah kepada penduduk terjejas PKPD Kuala Muda melibatkan peruntukan khas berjumlah RM373,545.

Menurut beliau, bantuan berupa dua ekor ayam, dua kilogram ikan, sayur-sayuran dan sepapan telur akan diagihkan kepada 2,767 buah rumah terlibat.

"Bekalan makanan basah akan mula dibekalkan mulai pagi esok (Khamis) melalui petugas Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dan kakitangan Majlis Perbandaran Sungai Petani Kedah (MPSPK) di taman perumahan terlibat termasuk di Taman Bandar Baru, Taman Cahaya PKNK, Taman Lembah Permai dan Kampung Sireh," katanya melalui satu kenyataan pada Rabu.

Tambahnya, beliau menyedari kesukaran mendapatkan makanan basah dan bekalan wang tunai berikutan ada kawasan terbabit PKPD tidak mempunyai perkhidmatan bank atau ATM.

"Selepas dua minggu dikenakan perintah PKPD, mereka telah kehabisan bekalan wang tunai dan ini menimbulkan masalah untuk membeli keperluan selain daripada makanan yang dibekalkan melalui bakul makanan PKOB.

"Semua bantuan makanan basah dan wang tunai ini akan diselaraskan oleh Pejabat Daerah Kuala Muda yang diketuai oleh Pengerusi PKOB merangkap Pegawai Daerah Kuala Muda, Abdullah Hashim," jelasnya.

Sebelum ini, kerajaan menguatkuasakan PKPD di Sungai Petani membabitkan Taman Bandar Baru dan Taman Lembah Permai di Sungai Lalang dengan anggaran 11,600 penduduk dan PKPD Kawasan Perusahaan Ringan Bakar Arang termasuk Taman Cahaya PKNK membabitkan anggaran 300 penduduk bermula 5 hingga 18 Julai 2021.

Bagaimanapun, PKPD di daerah Kuala Muda itu dilanjutkan berkuat kuasa bermula 19 Julai sehingga 1 Ogos depan.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!