Banjir di Belanda, rakyat Malaysia selamat

Banjir yang melanda Belanda susulan hujan lebat sejak 14 Julai.
Banjir yang melanda Belanda susulan hujan lebat sejak 14 Julai.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Semua rakyat Malaysia yang berada di bandar Maastricht dan Valkenburg, Belanda yang dilanda banjir, dilaporkan selamat, kata Kedutaan Malaysia di The Hague.

Kedutaan berkata, lapan rakyat Malaysia menetap di Maastricht dan seorang di Valkenburg.

"Rakyat Malaysia yang berada di kawasan dilanda banjir setakat ini belum memohon apa-apa bantuan, tetapi pihak kedutaan sentiasa memantau perkembangan mereka," kata kedutaan.

Banjir melanda wilayah Limburg, yang terletak di selatan Belanda - bersempadan dengan Jerman dan Belgium - susulan hujan lebat sejak 14 Julai.

Limpahan air Sungai Maas turut menjejaskan beberapa bandar termasuk Venlo dan Maastricht.

Berikutan itu Kerajaan Belanda telah mengisytiharkan keadaan di selatan Limburg sebagai bencana membolehkan akta mengenai pampasan kerosakan dapat digunakan.

Sebelum itu pihak kerajaan telah mengaktifkan program pencegahan bencana dan menyediakan bantuan kepada penduduk terjejas.

Menurut kedutaan setakat ini terdapat 106 penuntut Malaysia menyambung pengajian di beberapa universiti di negara ini, antaranya di Groningen, Utrecht, Amsterdam, Delft dan Wageningen, bagaimanapun, kawasan berkenaan tidak terjejas banjir.

Artikel Berkaitan:

Rakyat Malaysia dinasihatkan sentiasa mengikuti pengumuman dan langkah keselamatan berkaitan banjir yang dilaksana pihak berkuasa.

Kedutaan meminta rakyat Malaysia mendaftar dengan Kedutaan dan pendaftaran boleh dibuat di laman web https://embassymalaysia.nl. -Bernama