Digitalisasi pacu pembangunan pengadilan KRM

KRM proaktif dalam melahirkan lebih ramai lagi pengadil bertaraf antarabangsa sekaligus meningkatkan tahap profesionalisme dan mutu kepengadilan ragbi tanah air. Gambar kecil: Ahmad Effendy
KRM proaktif dalam melahirkan lebih ramai lagi pengadil bertaraf antarabangsa sekaligus meningkatkan tahap profesionalisme dan mutu kepengadilan ragbi tanah air. Gambar kecil: Ahmad Effendy
A
A
A

KESATUAN Ragbi Malaysia (KRM) menerusi Sekolah Kepengadilan Cikgu Maniam Akademi Ragbi Malaysia sentiasa proaktif dalam meningkatkan tahap profesionalisme dan mutu pengadilan badan induk ragbi negara tersebut.

Penganjuran Bengkel Latihan Persediaan Pengadil Ragbi Malaysia 2021, menerusi sesi webinar merupakan antara pendekatan jangka panjang ke arah usaha tersebut.

Menurut Pengarah Kepengadilan Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM), Ahmad Effendy Abdul Razak, tujuan bengkel adalah untuk meningkatkan pengetahuan mengenai konsep dan kaedah sebenar latihan persediaan untuk pengadil.

"Ia juga persediaan kepada proses pembangunan pengadil junior, elit untuk pelapis kepada pengadil berprestasi tinggi untuk berkhidmat pada pertandingan peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

"Ia juga secara tidak langsung dapat membantu KRM melahirkan lebih ramai lagi pengadil bertaraf antarabangsa termasuk pengadil wanita sekaligus meningkatkan profesionalisme dan mutu kepengadilan ragbi tanah air," katanya.

Ahmad Effendy yang juga Ahli Majlis KRM, ragbi adalah sukan kontak merangkumi intensiti tinggi diselangi aktiviti intensiti rendah.

Justeru jelas Ahmad Effendy, peranan pengadil adalah penting kerana keputusan yang salah akan memberi implikasi mendalam terhadap keputusan permainan dan pemain.

"Walaupun banyak perlawanan ragbi dimainkan di seluruh negara, namun tidak terdapat informasi yang diketahui mengenai kaedah persediaan pengadil ragbi sebelum mengadili sesuatu pertandingan.

Artikel Berkaitan:

"Jadi untuk meningkatkan prestasi pengadil ke tahap optimum maka pengadil perlu mengetahui konsep dan kaedah sebenar latihan persediaan iaitu daripada segi latihan persediaan fizikal, teknikal, taktikal, psikologi termasuk juga pemakanan.

"Hal ini, disebabkan tuntutan fisiologi dan pergerakan mereka berkait rapat dengan ketepatan membuat keputusan semasa permainan berlangsung.

"Latihan persediaan ini juga boleh membantu pengadil mengetahui pemboleh ubah yang mempengaruhi interaksi antara proses fisiologi dan kognitif semasa pertandingan serta dapat memberikan pengetahuan mengenai kaitan antara fisiologi, pergerakan dan ketepatan membuat keputusan semasa pertandingan berlangsung," katanya

Untuk rekod, enam sesi webinar dianjurkan dengan lima daripada telah berlangsung sejak 12 Julai lalu manakala siri terakhir diadakan pada 31 Julai yang menyaksikan penampilan panel jemputan Asia Rugby Match Official Development Consultant, George Danapal.