829 diselamatkan di bawah jenayah pemerdagangan orang

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 829 orang dipercayai mangsa pemerdagangan orang diselamatkan dalam 190 serbuan polis di seluruh negara dalam tempoh Januari tahun lepas hingga Mei tahun ini dan memperoleh Perintah Perlindungan Sementara (IPO).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, daripada jumlah itu, 74 orang telah mendapat Perintah Perlindungan (PO) tahun lepas manakala 65 orang memperolehnya dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini.

"Sebanyak 599 orang diselamatkan hasil 146 serbuan tahun lepas manakala 230 orang diselamatkan dalam 44 serbuan dari Januari hingga Mei tahun ini.

"Sebanyak 243 orang ditahan kerana disyaki terlibat dalam jenayah pemerdangan orang sepanjang tahun lepas manakala 110 orang ditahan tahun ini,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Beliau berkata, jenayah pemerdagangan orang adalah jenayah rentas sempadan yang menjadi isu global dan polis serius dalam membanteras jenayah itu.

"Antaranya bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan yang banyak membantu dalam penyaluran maklumat dan mewujudkan kesedaran awam berhubung jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran.

"(Selain itu), pelbagai program tahunan termasuk kursus, latihan dalam perkhidmatan, seminar dan bengkel dijalankan sama ada anjuran dalaman atau kerjasama dengan agensi atau pertubuhan luar," katanya.

Beliau berkata, program-program berkenaan bertujuan meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan kepakaran pegawai terutama dalam kalangan agensi penguatkuasaan dan pendakwaan bagi memerangi jenayah tersebut.

Artikel Berkaitan:

Abd Jalil berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) berusaha untuk membanteras jenayah pemerdagangan orang terutamanya buruh paksa dengan tindakan yang berterusan.

"Merujuk kepada statistik sepanjang tahun lepas, PDRM menjalankan 62 serbuan terhadap jenayah eksploitasi buruh paksa dan bagi tahun ini sehingga bulan Mei, sebanyak 25 serbuan dijalankan. Kebanyakan mangsa adalah rakyat Indonesia, Filipina dan India," katanya. - Bernama