'Ini satu pengiktirafan yang cukup tinggi'

Azizulhasni meraikan kejayaannya meraih pingat gangsa acara keirin pada Sukan Olimpik Rio 2016.
Azizulhasni meraikan kejayaannya meraih pingat gangsa acara keirin pada Sukan Olimpik Rio 2016.
A
A
A

JAGUH lumba basikal trek negara, Azizulhasni Awang mengakui tidak tertekan dengan status baharunya selepas dianugerahkan Darjah Kebesaran Negeri Terengganu (D.P.M.T) yang membawa gelaran Datuk.

Sebaliknya, Azizulhasni atau lebih dikenali dengan panggilan The Pocket Rocketman lebih bersemangat dalam misi memburu kilauan pingat emas sulung Sukan Olimpik.

Azizulhasni berkata, anugerah tersebut tidak sesekali menjadi satu bebanan dan tekanan kepadanya dalam menyambar emas pada Olimpik Tokyo 2020 yang bakal bermula Jumaat ini.

“Mungkin ada yang menganggap saya akan lebih tertekan apabila menerima anugerah tersebut, lebih-lebih lagi Olimpik dah nak bermula. Tetapi ingin saya katakan, saya tidak berasa tertekan dengan gelaran (Datuk) ini.

“Malah, saya anggap penganugerahan ini sebagai pembakar semangat dan motivasi untuk menampilkan prestasi terbaik seterusnya merealisasikan impian Malaysia meraih pingat emas pertama dalam Sukan Olimpik.

“Saya cuma mohon doa daripada seluruh rakyat Malaysia agar saya dan rakan-rakan atlet lain dapat beraksi dengan baik di Tokyo nanti. Selebihnya kita berserah kepada ALLAH SWT,” katanya kepada Sukan Sinar pada Ahad.

Menerusi satu kenyataan media dikeluarkan Pejabat Sultan Terengganu pada Ahad, Azizulhasni tersenarai antara 10 penerima Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Terengganu (D.P.M.T) yang membawa gelaran Datuk.

Mengulas anugerah yang diterimanya, Azizulhasni berkata, dia tidak pernah menyangka akan menerima penghormatan seumpama itu sekalipun menempa banyak kejayaan di pentas antarabangsa sejak bergelumang dalam dunia basikal.

Artikel Berkaitan:

“Kalau tanya saya tentang anugerah ini, memang saya terkejut. Bagi saya, ini satu pengiktirafan yang cukup tinggi selepas 15 tahun saya terlibat dalam sukan lumba basikal.

“Saya ingin menzahirkan rasa syukur kepada ALLAH SWT dan terima kasih kepada Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin; kerajaan negeri Terengganu serta Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT).

“Tak lupa juga ahli keluarga, rakan-rakan serta mereka yang sentiasa berdiri teguh di belakang saya termasuk pihak media yang menyokong sejak awal pembabitan saya dalam sukan berbasikal ini,” ujar pelumba kelahiran Dungun berusia 33 tahun itu.

Azizulhasni diletakkan antara sandaran terbaik Malaysia meraih pingat emas Olimpik kali ini bersandarkan pengalamannya beraksi dalam tiga temasya sebelum ini selain kejayaan meraih gangsa acara keirin pada Rio 2016.